KUALA LUMPUR: Seorang Pegawai Kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang penuntut tahun satu, bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, Mohd Adil Mat Awang Ghani, 22, telah menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Haziq Iqbal Ahmad Rashidi,19, dengan memijak perut mangsa dengan memakai ‘spike boot’.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di padang kawad Akademi Latihan Ketenteraan UPNM Kem Sungai Besi, Cheras pada pukul 10.45 malam, 21 Oktober lalu.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan.
“ Ia termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mendekati pengadu dan juga saksi yang terdiri daripada pegawai UPNM dan beberapa orang kadet,” kata Mohd Sabri.
Walau bagaimanapun, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nurul Diyana Basher yang mewakili tertuduh memohon mahkamah jaminan seminimum mungkin terhadap tertuduh.
“Tertuduh baru berusia 22 tahun dan masih lagi bawah tanggungan ibu bapa. Mohon mahkamah memberikan pertimbangan untuk meletakkan jumlah jaminan seminima yang mungkin,” katanya.
Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan menghubungi saksi-saksi dan mangsa.
Mahkamah juga mentapkan 10 Februari 2025 bagi sebutan semula kes.
Pada 21 Oktober lalu, media melaporkan satu lagi kejadian buli dilaporkan di UPNM membabitkan penuntut tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Sehari sebelum seorang penuntut tahun dua universiti berkenaan ditekap seterika oleh penuntut tahun empat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata, ketika kejadian mangsa sedang berada di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama. – UTUSAN