PDRM tubuh Unit Siber Taktikal dan Teknikal tangani jenayah komersial

PDRM tubuh Unit Siber Taktikal dan Teknikal tangani jenayah komersial

Tan Sri Razarudin Husain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan Unit Siber Taktikal dan Teknikal bagi menangani jenayah komersial yang semakin kompleks terutamanya dengan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penubuhan unit tersebut di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) diharap dapat menambah keupayaan pihak berkuasa menangani ancaman siber secara efektif.

“Jenayah komersial kini semakin kompleks dengan kemunculan teknologi AI yang mengubah modus operandi penjenayah sehingga menuntut kita (PDRM) mengadaptasi langkah lebih proaktif dan berinovasi

“Salah satu contoh yang membimbangkan ialah penggunaan teknologi deepfake yang membolehkan penjenayah mencipta kandungan palsu, baik dalam bentuk video, gambar, serta audio untuk memperdaya mangsa.

“Justeru, Unit Siber Taktikal dan Teknikal ditubuhkan dengan cadangan awal sebanyak 22 perjawatan, buat masa ini sebanyak 17 perjawatan telah diisi bagi memulakan operasi fasa pertama,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan PDRM di Bukit Aman, hari ini. 

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, rasionalisasi perjawatan di JSJK merupakan antara usaha yang telah dijalankan bagi mendepani cabaran baharu itu. 

Bagaimanapun, jelas beliau, memandangkan tiada peruntukan perjawatan baharu, maka pihaknya menggunakan perjawatan dalaman untuk menstruktur semula perjawatan JSJK mengikut keutamaan fungsi-fungsi kritikal. 

“Dalam pada itu, sebanyak 691 perjawatan telah dikenal pasti dan diambil dari jabatan-jabatan lain bagi memenuhi keperluan JSJK. 

“Manakala penstrukturan semula perjawatan yang sedia ada di dalam JSJK, melibatkan 906 perjawatan telah dilakukan melalui kaedah agihan dalam jabatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya