SEREMBAN: Polis perlu lebih proaktif mengesan dan bertindak lebih awal terhadap anggotanya yang melakukan jenayah serta salah laku.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pasukan itu tidak boleh lalai hingga menyebabkan agensi lain lebih kehadapan melakukan tindakan.
Katanya, tidak ada sebab pasukan itu tidak dapat mengesan kesalahan dilakukan anggotanya tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lebih dahulu menahan mereka yang melakukan kesalahan itu.
“Bagaimana SPRM dapat kesan dan kita tidak dapat. Nampak seperti kelemahan kita.
“Jangan tunggu hingga nampak seperti kita tidak proaktif dan hanya membiarkan jenayah itu berlaku,” katanya kepada para pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena Sambutan Hari Integriti Peringkat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di sini hari ini.
Ayob Khan memetik kes SPRM menemui wang tunai hampir RM2 juta di rumah selamat seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintenden (DSP) beberapa bulan lalu.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai satu pasukan sepatutnya boleh mengesan salah laku seperti itu terlebih dahulu dan bertindak lebih awal.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga mahu maklum balas lebih segera terhadap isu berkaitan PDRM yang dibangkitkan terutama dalam media sosial.
Jelasnya, ia penting bagi mengelak persepsi negatif kepada PDRM apabila isu menjadi tular disebabkan tiada maklum balas pihak berkuasa. – UTUSAN