KUALA LUMPUR: Sebanyak 135,915,377 juta saman berdaftar dianggarkan bernilai RM20.38 bilion direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh 34 tahun.
Jumlah saman itu dikeluarkan PDRM kepada pesalah trafik membabitkan pelbagai jenis kesalahan trafik sejak 1990 hingga 2024.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, daripada jumlah terbabit, sebanyak 67 peratus saman telah dijelaskan melibatkan 92,317,493 juta saman setakat ini.
“Jumlah itu membabitkan nilai RM8.56 bilion manakala 33 peratus lagi masih tertunggak iaitu 44,597,884 saman (RM6.54 bilion).
“Bagi tahun ini (2024), sebanyak 4,307,956 saman berdaftar direkodkan daripada Januari hingga 6 November membabitkan RM646.19 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke pejabat JSPT Kuala Lumpur di Balai Polis Tun H S Lee di sini, untuk melihat sendiri pelaksanaan Program Tawaran Semakan dan Bayaran Saman Sehingga 50 Peratus pada hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusri berkata, jumlah terbabit membabitkan 2,474,287 keping kompaun berjumlah RM371.143 juta untuk saman K 170.
Katanya, bagi K 257, sebanyak 1,833,669 keping kompaun dianggarkan bernilai RM275.05 juta dikeluarkan JSPT.
“Antara kompaun paling banyak dikeluarkan membabitkan kesalahan halangan lalu lintas serta mengabaikan lalu lintas,” katanya. – UTUSAN