KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) memutuskan untuk bertanding di kawasan yang berpotensi termasuk kerusi di bawah Parlimen Pensiangan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Presidennya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada perbincangan dengan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) memandangkan PBRS adalah sebahagian daripada parti komponen BN.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, antara kerusi yang disasarkan adalah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Pensiangan dan pihaknya akan berusaha keras mendapatkan pertimbangan untuk bertanding di kawasan tersebut.
Beliau, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, PBRS telah mengenal pasti dan menyenarai pendek kawasan-kawasan yang akan ditandingi. Selepas itu, ia akan dibawa untuk rundingan di peringkat BN dan seterusnya akan dibincangkan dengan rakan dalam kerajaan Perpaduan.
“Memandangkan BN berada dalam gabungan kerajaan perpaduan maka, selepas kita berunding dengan parti-parti komponen dalam BN, kita perlu juga berunding dengan rakan-rakan kita dalam kerajaan Perpaduan tersebut.
“Jika dilihat BN dan Pakatan Harapan (PH) merupakan tunjang atau parti-parti asas dalam kerajaan perpaduan yang kita ada sekarang. Maka secara semula jadi, inilah kedua-dua gabungan yang perlu berunding dahulu.
“Selepas itu, baru kita jemput parti-parti ataupun gabungan-gabungan yang lain untuk kita berbincang tentang apa jenis kesepakatan politik yang mungkin boleh diwujudkan untuk kita menghadapi pilihan raya,” katanya semasa Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan PBRS, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.
Jelas beliau, biarpun kuasa autonomi diberi kepada BN Sabah untuk memutuskan calon yang akan bertanding pada PRN17 namun, mereka masih perlu mendapatkan pandangan daripada kerajaan perpaduan di peringkat nasional.
Mengulas lanjut katanya, PBRS telah bertapak di Sabah sejak 1994. Biarpun parti itu tidak sebesar parti lain namun, mereka berjaya kekal sehingga sekarang kerana nilai kesetiaan dan perjuangan yang mengutamakan kebajikan rakyat.
Jadi, biarpun orang buat perbandingan PBRS tidak sebenar parti lain tetapi, parti ini masih dihormati dan ia membolehkan mereka mencatat jumlah keahlian PBRS seramai 2000,000 orang.
Dalam pemilihan parti sempena persidangan itu, Arthur menang tanpa bertanding dan berjaya mempertahankan jawatan Presiden Parti. – UTUSAN