PUTRAJAYA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) perlu distruktur semula supaya ia dapat memainkan peranan lebih cekap dalam menangani pelbagai isu global ketika ini, demikian titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Sultan Nazrin bertitah, institusi dan badan global itu dilihat masih beroperasi dengan peraturan lama dalam tadbir urus global yang dicipta pada masa tu.
“Walaupun persekitaran geopolitik dan ekonomi sudah berubah sejak 1945 namun, kita hidup dalam dunia yang lebih multipolar sekarang dan struktur tadbir urus yang lama.
“Kita semua hidup dalam satu planet iaitu dalam kawasan bersama sumber dunia. Jika krisis global besar yang memberi kesan kepada kita semua seperti perubahan iklim, ia mesti ditangani dengan adil dan berkesan,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja bertajuk ‘Rethinking Development Ideas’ sempena Festival Idea Putrajaya, di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, baginda percaya, apa saja pendekatan diambil dalam konsep pembangunan di mana-mana negara, ia mesti berteraskan kepada prinsip utama, iaitu kesalinghubungan, pembangunan berpaksikan rakyat, tanggungjawab terhadap alam sekitar dan kesaksamaan serta keadilan.
Titah Baginda, setiap tindakan memberikan kesan yang melangkaui sempadan negara dan masalah yang dihadapi satu negara tidak boleh lagi dilihat secara berasingan.
“Perang yang meletus di satu benua memberi kesan kepada benua lain dan pembakaran bahan api fosil di satu hemisfera akan menyumbang kepada impak iklim di sebelah dunia yang bertentangan.
“Ini bermakna kita mesti mengamalkan pendekatan menyeluruh terhadap pembangunan yang mengambil kira kesalinghubungan manusia, budaya dan ekosistem, dan dengan itu , pergantungan antara kita,” katanya.
Titahnya lagi, dalam prinsip pembangunan berpaksikan rakyat, ia bukan semata-mata mengenai pendapatan tetapi kebebasan yang dimiliki setiap orang untuk mencapai tujuan yang bernilai.
Prinsip tanggungjawab terhadap alam sekitar, titah baginda, mengiktiraf bahawa kesihatan dan kesejahteraan tidak dapat dipisahkan daripada kesihatan planet dan dunia tidak boleh terus dibangunkan dengan mengorbankan generasi akan datang.
“Dalam prinsip kesaksamaan dan keadilan, pembangunan mesti berkisar kepada pencapaian keadilan sosial dan ekonomi, yang mana semua orang, tanpa mengira latar belakang, boleh mengakses peluang dan sumber. Pencapaian martabat manusia harus menjadi objektif kita,” titah baginda.
Mengenai FOI 2024 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu, Sultan Nazrin bertitah, ia pengiktirafan penting bahawa pembangunan itu sendiri, sebagai konsep dan amalan, tidak boleh hanya tetap dan terhenti.
“Ia mesti sentiasa disemak semula, dikemaskini dan diperluas untuk memenuhi keperluan semasa yang sentiasa berubah,” titah baginda. – UTUSAN