Paul Yong dibenar kemuka bukti baru kes rogol amah

Paul Yong dibenar kemuka bukti baru kes rogol amah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong untuk memasukkan bukti baharu membabitkan kes rogol pembantu rumahnya.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal dan bersidang bersama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah memutuskan demikian selepas mendapati terdapat unsur menunjukkan mangsa memberikan keterangan palsu pada perbicaraan kes itu sebelum ini.

“Kami mendapati isu yang dibangkitkan adalah serius kerana sekiranya benar pengadu (mangsa) telah memberikan keterangan palsu maka telah berlaku ketidakadilan yang teruk buat pemohon (Choo Kiong),”kata Hakim Harmindar ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit.

Sehubungan itu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan agar Mahkamah Tinggi Ipoh untuk membuat penilaian semula kes berkenaan dengan mengambil kira lima dokumen yang baru diterima sebagai bukti baharu itu.

Terdahulu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili bekas Adun itu menghujahkan terdapat dokumen yang menunjukkan mangsa telah menarik balik dakwaan rogol tersebut.

Dokumen tersebut ditandatangani mangsa di hadapan seorang peguam bernama Pathurrahman dan seorang notari awam bernama Hilman di Indonesia. Dokumen itu telah dihantar ke rumah Choo Kiong pada Mei lalu.

Menurut dokumen terbabit, pembantu rumah terbabit mendakwa dirinya telah dirogol selepas bekas majikannya itu enggan menamatkan kontrak kerjanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Faizal @ Amrin Noor Hadi membantah permohonan itu atas alasan dokumen-dokumen terbabit tidak diperakui dan merupakan keterangan dengar cakap.

Selain memerintahkan penilaian semula terhadap kes berkenaan, panel Mahkamah Persekutuan turut mengarahkan Mahkamah Tinggi untuk mengesahkan bukti tambahan itu dan menyediakan pandangannya berhubungan kes berkenaan, juga dengan mengambil kira bukti baharu itu.

Sekiranya saksi perlu dipanggil, pihak-pihak terlibat perlu dibenarkan untuk menyoal balas saksi-saksi berkenaan.

Dengan keputusan hari ini, pendengaran rayuan akhir Choo Kiong yang sepatutnya didengar pada 25 November ini telah ditangguhkan. Mahkamah menetapkan pengurusan kes di Mahkamah Tinggi pada 26 November ini.

Pada 1 Mac lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 mengekalkan sabitan salah terhadap Choo Kiong namun meminda hukuman 13 tahun kepada lapan tahun. Hukuman sebat dua kali dikekalkan.

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Choo Kiong, 53, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di dalam bilik rumahnya di Ipoh, Perak antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya