KOTA KINABALU: Taktik kotor pembangkang menyebar fitnah dan pelbagai tuduhan melalui media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dipatahkan agar pemikiran rakyat tidak terus diracuni.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangkang dan konco-konco melemparkan pelbagai tuduhan dan pembohongan terhadap kerajaan negeri dan kepemimpinan parti untuk menjatuhkan kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus.
“Ini cabaran semasa yang wajib kita perangi habis-habisan kerana ia boleh meracuni pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan dan kepemimpinan parti, lebih-lebih lagi dalam era teknologi serba canggih sekarang di mana media sosial dan teknologi AI telah menguasai kehidupan seharian rakyat.
“Segala pembohongan dan fitnah yang ditabur di luar sana, bukan sahaja perlu disangkal bahkan wajar dipatahkan.
“Ini bagi membolehkan rakyat tidak terus tertipu atau termakan hasutan, hasil perbuatan mereka yang ingin menjatuhkan kerajaan secara kotor dan tidak bermoral,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Parti Liberal Demokratik (LDP),di sini hari ini.
Beliau berkata, selama lebih empat tahun GRS telah melalui pelbagai cabaran dan ujian dalam menstabilkan politik dan cabaran untuk memulihkan semula ekonomi negeri.
Katanya, kerajaan GRS telah berjaya mengharungi segala bentuk cabaran yang mendatang, malah berupaya pula memperkasakan gabungan di bawah payung GRS dan LDP adalah sebahagian daripada perjuangan ini.
“Dalam GRS kita adalah rakan kongsi yang saling memberi dan menerima, saling menasihati dan bekerjasama serta saling kukuh memperkukuh hubungan baik demi perpaduan dan kecemerlangan bersama,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), kerajaan hari ini yang dibentuk atas sokongan dan mandat rakyat akan terus menawarkan gabungan GRS-PH Plus.
“Saya tetap yakin dan percaya, dengan kerjasama yang erat serta kesepaduan dan perpaduan kita semua, kita akan sekali lagi memenangi PRN17 dan membolehkan kita melanjutkan legasi kecemerlangan yang telah kita bina sejak kita mengambil alih tampuk pemerintahan pada September 2020,” katanya.-UTUSAN