KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu akan menggerakkan dua pasukan Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di pusat pemindahan sementara (PPS) pada musim tengkujuh ini.
Pengarahnya, Mohamad Nasir Kareem berkata, pasukan Mekar itu akan membantu mangsa banjir yang kehilangan dokumen pengenalan diri membuat laporan dan memohon dokumen baharu di PPS.
Menurutnya, pasukan terdiri daripada 12 kakitangan jabatan itu akan turun padang dengan peralatan lengkap untuk menyediakan permohonan dokumen ganti.
“Walaupun pihak berkuasa sentiasa mengingatkan orang ramai agar bersiap siaga dengan bencana banjir, namun kehilangan dokumen ini pasti berlaku di luar jangka.
“Kebanyakan mangsa mengakui telah meletakkan dokumen penting di tempat yang selamat, namun ada kalanya air naik lebih tinggi dan kita faham masalah ini serta komited membantu mereka mendapatkan dokumen baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mekar Komuniti Monsun JPN Terengganu 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman di sini, hari ini.
Tambahnya, selain kad pengenalan, sijil kelahiran anak juga sering dilaporkan hilang setiap kali musim banjir.
“Namun, bagi kes bencana seperti banjir ini, tiada sebarang denda dikenakan terhadap mangsa. Bagaimanapun, sekiranya dokumen asal dijumpai, ia perlu diserahkan di mana-mana kaunter JPN terdekat kerana ia tidak lagi sah untuk digunakan,” katanya. –UTUSAN