SHAH ALAM: Pasukan khas dibentuk bagi menilai tahap kesihatan, mental serta fizikal kanak-kanak dan remaja yang terlibat dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, pasukan tersebut dibentuk menerusi perbincangan jawatankuasa yang melibatkan pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKMS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan sebagainya.
Menurutnya, selain kesihatan dan mental, antara lain turut dinilai adalah tahap keseriusan pegangan kanak-kanak dan remaja terbabit sepanjang terlibat dengan gerakan dalam GISBH.
“Hasil daripada bengkel pada 17 da 18 Oktober lalu itu, sebuah pasukan khas telah dibentuk untuk melakukan saringan dan pemeriksaan terperinci bagi menilai tahap kesihatan fizikal, mental, emosi serta keparahan pegangan anak-anak ini kepada ideologi GISBH.
“Rumusan awal akan dibentangkan kepada saya pada pertengahan bulan ini supaya silibus pemulihan sedia ada dapat disesuaikan mengikut tahap pemulihan yang diperlukan oleh anak-anak ini mengikut umur mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, Selangor akan berhubung dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk bekerjasama dalam pengurusan anak-anak GISBH dari negeri ini yang ditempatkan dekat rumah perlindungan di sana.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan , seramai 68 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global membabitkan GISBH sedang dalam proses mendapatkan perintah mahkamah untuk diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pada peringkat awal, seramai 560 kanak-kanak telah diselamatkan dan setakat ini, 54 daripadanya telah diserahkan kepada ahli keluarga mengikut perintah dikeluarkan mahkamah.
Berdasarkan sesi Penerangan Menteri mengenai isu GISBH di Dewan Rakyat baru-baru ini, seramai 560 kanak-kanak melibatkan 283 lelaki dan 277 perempuan ditempatkan di pusat perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam pada itu, Mohammad Fahmi memberitahu, beliau menaruh keyakinan terhadap kemampuan kanak-kanak dan remaja berkenaan untuk dibantu dan seterusnya akan kembali menyumbang kepada negeri dan negara.
“Kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama dan bantuan daripada pelbagai pihak baik dari segi tenaga pakar dan kewangan untuk sama-sama memulihkan anakanak ini.
“Saya yakin mereka berpotensi untuk menjadi aset Negeri Selangor yang baik sekiranya diberikan didikan dan penjagaan yang sewajarnya,” ujarnya. – UTUSAN