KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan melihat isu Pas menggantikan parti itu untuk mengemudi Perikatan Nasional (PN) hanya sebagai provokasi daripada pihak lawan.
Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, isu tersebut mungkin ditimbulkan selepas melihat berlaku perebutan jawatan dalam Bersatu ketika pemilihan parti sedang berlangsung baru-baru ini.
“Ia lebih kepada provokasi untuk menimbulkan rasa curiga dalam kalangan parti-parti yang bergabung dalam PN. Itu sahaja. Ia bertujuan untuk melaga-lagakan parti komponen PN.
“Kita orang lama yang boleh dianggap veteran dalam politik dan sudah tahu permainan ini. Orang kata, sekilas ikan di air sudah tahu jantan dan betinanya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program Hos Komuniti Setempat (HKS) Majlis Daerah Dabong di sini, hari ini.
Kamarudin memberitahu, anggapan kononnya berlaku perebutan jawatan dalam Bersatu jika dilihat secara positif akan menampakkan parti itu semakin kuat dan diterima oleh rakyat Malaysia.
Katanya, jika benar ada perebutan bermakna ada sesuatu yang baik dalam Bersatu sekali gus menunjukkan ia sebuah parti berpotensi untuk menjadi lebih baik pada masa hadapan.
“Kalau benda buruk, tidak masuk akal sekiranya orang nak berebut. Kalau ada perebutan, ia menunjukkan Bersatu merupakan sebuah badan berpotensi untuk lebih kuat dan dominan.
“Ia sekali gus menunjukkan parti ini semakin diterima oleh rakyat. Kalau bukan pada tahun ini pun mungkin pada tahun-tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN