KUALA LUMPUR: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpencen sebelum Januari 2013 akan menerima pelarasan kenaikan pencen sebanyak dua kali merangkumi lapan dan tujuh peratus bermula Disember ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia dibuat susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula 1 Disember ini, menjadikan keseluruhan penyelarasan sebanyak 15 peratus.
“Sekalipun kes (kenaikan pencen veteran berpencen sebelum Januari 2013) belum diputuskan di Mahkamah Rayuan, namun susulan pelaksanaan SSPA yang diumumkan kerajaan, pelarasan pencen kepada semua pesara termasuk veteran ATM akan dibuat.
“Di bawah pelarasan ini, veteran yang berpencen sebelum Januari 2013, turut akan menerima kenaikan sebanyak lapan dan tujuh peratus menjadikan keseluruhannya sebanyak 15 peratus.
“Pelarasan kedua sebanyak tujuh peratus pula akan dibuat pada awal 2026. Ia dilaksanakan mengikut formula pencen yang terdapat dalam Peraturan-Peraturan Angkatan Tentera Tetap 1982,” katanya pada sesi penggulungan Mindef Rang Undang-undang Perbekalan 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, seramai 50 pesara ATM antaranya berpangkat Mejar, Leftenan, Staf Sarjan dan Prebet memfailkan saman pada 17 November 2022 dengan menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Kanan Pertahanan Malaysia dan Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan.
Menerusi saman itu, plaintif memohon pengisytiharan bahawa defendan memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972 dalam kegagalan masing-masing untuk melakukan penyelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Mereka juga memohon pencen semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 diselaras mengikut kadar dan cara seperti pencen pesara ATM selepas 1 Januari 2013. – UTUSAN