KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam pertimbangan menggunakan teknologi Direct-to-Device bagi kegunaan internet pada Pelaksanaan Fasa 2 inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, SKMM mengenal pasti sejumlah 2,700 lokasi di seluruh negara yang perlu dinaik taraf bagi liputan internet.
“Antaranya sekarang kami sedang mengenal pasti teknologi yang paling sesuai untuk setiap lokasi bagi mendapatkan liputan internet.
“Hal ini supaya semasa pelancaran Jendela Fasa 2, kita dapat menggunakan teknologi terbaharu dan kita harap keputusan dapat dimuktamadkan pada tahun depan,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) yang meminta Kementerian Komunikasi untuk beralih kepada teknologi baharu bagi liputan internet.
Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, SKMM menyedari bahawa terdapat banyak menara komunikasi siap dibina namun tidak dapat beroperasi.
“Justeru, kami telah mengeluarkan arahan kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memberi solusi interim dalam tempoh enam bulan supaya infrastruktur internet tidak dibazirkan,” katanya.
Sebelum itu, beliau memaklumkan, sehingga 30 September 2024 bagi Sarawak, 524 daripada 902 menara komunikasi baharu siap dibina dan beroperasi.
“Selain itu, 4,376 daripada 4,386 stesen pemancar sedia ada dinaik taraf, 151,695 daripada 207,135 premis tersedia dengan capaian gentian optik dan kesemua 523 lokasi menikmati perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit, dengan izin Broadband Wireless Access (BWA),” katanya. – UTUSAN