KUALA LUMPUR: Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan terus diguna pakai dengan mengambil kira sesuatu isu yang berlaku, di samping kerajaan akan terus mencari jalan untuk membuat penambahbaikan sebelum ia dibentang di Parlimen.
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penambahbaikan itu dibuat dengan mengambil cadangan daripada beberapa pihak yang berkaitan menerusi libat urus yang telah dijalankan sepanjang tahun 2024.
“Tidak ada cadangan untuk kerajaan (membuat moratorium) sebelum ia dibentang di Parlimen kerana kita nampak ada kes yang wajar juga dibawa ke mahkamah. Saya boleh mengambil contoh beberapa kes seperti yang berlaku kepada pempengaruh TikTok dikenali Rajeswary atau Esha, di mana pemandu lori telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 233. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman 12 bulan kepada pemandu lori itu. Kalau kita cakap hentikan untuk guna pakai Seksyen 233 sampai dapat kelulusan dan pindaan di Parlimen, ini tidak praktikal,” katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Terdahulu, Kamal meminta kementerian menjelaskan adakah kerajaan berhasrat untuk mewujudkan moratorium terhadap Seksyen 233 sebelum ia dibentang di Parlimen untuk diluluskan pindaannya.
Nie Ching dalam masa sama turut menjelaskan, buat masa ini, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) adalah antara peruntukan sedia ada yang boleh dikuatkuasakan bagi menangani sebarang aktiviti kemudaratan dalam talian.
Katanya, peruntukan ini hanya akan dikuatkuasakan sekiranya terdapat kandungan dalam talian yang dikenal pasti bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelek dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.
“Tindakan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah berdasarkan pemantauan proaktif serta aduan yang diterima daripada orang awam dan juga permohonan daripada agensi penguatkuasaan yang lain
“MCMC akan menjalankan siasatan secara telus terhadap kandungan yang diadukan dan hasil siasatan kemudiannya akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan pendakwaan,” ujarnya lagi.
Selain itu, Nie Ching turut memaklumkan beberapa sesi libat urus telah dijalankan oleh MCMC berhubung cadangan pindaan kepada Seksyen 233.
“Maklum balas daripada sesi libat urus tersebut telah diambil kira dalam memuktamadkan cadangan pindaan kepada Akta 588, di mana penelitian dan kajian yang terperinci telah dilaksanakan oleh MCMC dan Kementerian Komunikasi bagi memastikan skop dan penggunaannya adalah lebih jelas dan tidak disalahgunakan dan bagi memastikan penguatkuasaannya dapat menangani kemudaratan.
“Cadangan pindaan kepada Akta 588 termasuk cadangan pindaan kepada Seksyen 233 dihasratkan untuk dibentangkan di Parlimen dalam mesyuarat kali ini tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri,” ujarnya. – UTUSAN