KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menasihati semua Ahli Parlimen untuk menggunakan maklumat yang sahih dan tidak membawa maklumat palsu ke dalam Dewan Rakyat.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berpandangan bahawa usaha dalam meningkatkan literasi digital perlu dipertingkat dan diperluaskan dalam kalangan wakil-wakil rakyat.
“Kadang kala kita dapat maklumat yang tidak boleh kita pastikan. Contoh, seperti apa Kluang kata tadi iaitu kadang-kadang ada kalangan kita dapat maklumat daripada Whatsapp yang belum tentu maklumat itu sahih.
“Aspek-aspek keselamatan dalam talian perlu juga terpakai kepada kita selaku ahli-ahli Parlimen. Kita perlu menjadi antara contoh terbaik dikalangan rakyat. Tak pasti, jangan kongsi.
“Jangan begitu mudah kita mempercayai maklumat diterima melalui media sosial tanpa kita mengesahkan,” katanya waktu Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang meminta pandangannya mengenai literasi digital.
Menjawab soalan asal Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor), Fahmi berkata, kebebasan bersuara yang tiada sempadan adalah kebebasan yang mengundang malapetaka.
“Oleh itu, tindakan ini (pelesena media sosial) adalah untuk memastikan keseimbangan antara kebebasan bersuara, keselamatan negara dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata, keperluan pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) adalah untuk memastikan penyedia perkhidmatan bertanggungjawab dan memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat kepada pengguna platform mereka.
“Ini termasuk menangani secara efektif kandungan mudarat dengan memperkukuhkan sistem dan proses mereka dalam mengurangkan jenayah siber seperti penipuan dalam talian, jenayah seksual dan buli siber,” jelasnya. – UTUSAN