KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjalanan dan lawatan rasmi beliau ke lima negara ditanggung 70 hingga 80 peratus oleh syarikat swasta yang turut serta dalam lawatan itu.
Anwar berkata, syarikat yang menanggung kos perjalanan ke lima negara itu adalah mereka yang mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan di negara berkenaan.
Beliau berkata, pendekatan itu adalah untuk memastikan perbelanjaan lawatan rasmi ke luar negara diuruskan dengan cekap.
Baru-baru (Lawatan) ini kita buat cara lain sebab saya lihat kos perjalanan selalunya agak tinggi. Jadi, kali ini apa yang kita lakukan adalah dengan kerjasama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz).
“Kita undang syarikat-syarikat terbabit umpamanya Petronas (Petroliam Nasional Bhd.), Sapura Energy, Yinson, Proton dan (syarikat semikonduktor) yang datang mengikuti dalam rombongan (negara). Mereka bayar tambang dan kos.
“Jadi, maknanya tidak salah saya sekitar 70 hingga 80 peratus kos penerbangan itu ditanggung oleh syarikat yang ada kepentingan perniagaan pelaburan. Kerajaan juga bantu syarikat ini sama ada import dan eksport.
“Jumlah sebenarnya belum ada, sebab saya baru tiba semalam. Tetapi kos itu memang tinggi kerana dari KL (Kuala Lumpur) ke Kaherah, Riyadh, Lima, Rio de Janeiro dan Doha.
“Memang setengah dunia, tiga benua. Tetapi (sekitar) 75 peratus kos ditampung oleh syarikat berkenaan,” katanya Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, Anwar melakukan lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November lalu atas jemputan daripada rakan sejawatnya Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7) di Shanghai.
Selepas itu, Perdana Menteri mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November sehingga kelmarin.
Anwar turut menyifatkan lawatan rasmi selama 11 hari ke Mesir, Arab Saudi, Peru, dan Brazil sebagai langkah bermakna dalam menyerlahkan semula ‘sinaran’ Malaysia di persada dunia.
Anwar berkata, lawatan sejak 9 November itu telah membuka peluang baharu untuk kemakmuran rakyat dan negara di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik global.
“Memenuhi undangan lawatan rasmi dan pertemuan daripada rakan-rakan sejawatan dari 19 negara, ia sekali gus mengeratkan hubungan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN