KUALA LUMPUR: Sebarang bentuk serangan tindak balas terhadap tentera Israel susulan insiden membabitkan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 perlu diputuskan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL).
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin memberitahu, misi penghantaran anggota MALBATT adalah berdasarkan persetujuan bersama dan keputusan UNIFIL, sekali gus sebarang isu yang berlaku harus dibincang bersama dan tidak boleh bertindak berdasarkan keputusan sendiri.
“Kita faham misi menghantar tentera ke Lubnan adalah berdasarkan persetujuan bersama dan keputusan PBB. Kita juga tidak boleh menarik kembali sewenang-wenangnya untuk menghantar dan menarik balik tentera kerana ia kena ada arahan dari PBB.
“Untuk kita bertindak balas daripada serangan yang dilakukan itu adalah self defence (pertahanan diri) dan ia satu perkara yang logik, tetapi kita akan memastikan misi penghantaran tentera kita adalah berlandaskan undang-undang antarabangsa dan arahan PBB,” katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahmad meminta kementerian menjelaskan adakah UNIFIL akan bertindak balas terhadap serangan yang dibuat Israel terhadap anggota MALBATT supaya kejadian tersebut tidak berulang lagi.
Media sebelum ini melaporkan, lima anggota pasukan pengaman UNIFIL cedera ketika Israel melakukan serangan terhadap Hizbullah ke selatan Lubnan.
UNIFIL membabitkan kira-kira 9,500 pegawai dan anggota tentera dari sekitar 50 negara yang ditugaskan untuk memantau gencatan senjata yang mengakhiri perang selama 33 hari pada 2006 antara Israel dan Hizbullah.
Susulan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini memaklumkan pasukan MALBATT di Lubnan boleh membuat serangan balas terhadap tentera Israel sekiranya kedudukan mereka diancam.
Jelasnya,serangan balas itu selaras garis panduan mengenai langkah perlindungan seperti yang ditetapkan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL). – UTUSAN