KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen akan dibentang kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) akan turut sama dibentangkan.
Menulis beliau, ia selepas Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berhubung Cadangan Penetapan Dasar Bagi Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 20 Jun lalu.
“Seterusnya, satu mesyuarat akan diadakan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk membincangkan isu perjawatan serta sumber manusia perkhidmatan Parlimen,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Azalina berkata, penggubalan RUU pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) sedang dalam proses.
“Parlimen Malaysia dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) sedang dalam proses penelitian ketetapan dasar, parameter gubalan akta dan impak kepada perundangan sedia ada bagi memastikan ia memenuhi ekspektasi semua pihak berkepentingan,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan mengambil sangat serius cadangan reformasi institusi melibatkan pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara.
“Seperti mana Dewan ini sedia maklum, pada 16 Ogos 2023, Jemaah Menteri bersetuju supaya satu kajian empirikal yang terperinci dan holistik dibuat berkenaan dengan pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara.
“Bagi tujuan ini, dua Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan bagi menjalankan kajian empirikal secara berfasa,” katanya. – UTUSAN