PARLIMEN: RM23.25 billion dibelanjakan untuk beli ubat

PARLIMEN: RM23.25 billion dibelanjakan untuk beli ubat

DR. DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan membelanjakan sebanyak RM23.25 bilion untuk membeli ubat-ubatan sejak 2015 hingga tahun lalu.

Berdasarkan Laporan Statistik Program Perkhidmatan Farmasi, tahun 2022 merekodkan jumlah perbelanjaan tertinggi sebanyak RM3.19 juta iaitu peningkatan 20 peratus dari tahun sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perbelanjaan bagi pembelian ubat-ubatan pada tahun 2023 meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh lapan tahun iaitu RM3 bilion berbanding RM2.3 bilion pada 2015.

Kata beliau, peningkatan peruntukan kewangan adalah selari dengan kenaikan harga ubat-ubatan, pertambahan bilangan pesakit dan penggunaan ubat-ubatan baharu mengikut kepakaran yang lazimnya dalam tempoh paten serta harga ubat lebih mahal.

“Kementerian juga mengunjurkan jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk menampung keperluan ubat-ubatan di fasiliti-fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) terus meningkat dari tahun ke tahun,” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang memintanya menyatakan jumlah keseluruhan tahunan pembelian ubat-ubatan bagi hospital dan klinik kerajaan bermula  2015 serta jangkaan untuk lima tahun akan datang.

Menjawab soalan mengenai rancangan untuk memastikan keterjaminan ubat-ubatan negara, Dzulkefly berkata, beberapa strategi sudah dibangunkan berpandukan kepada Dasar Ubat Nasional (DUNas) di bawah Komponen Akses Kepada Ubat-Ubatan.

“Antaranya memastikan ketersediaan ubat-ubatan National Essential Medicine List (NEML) menerusi galakan lebih banyak pengilangan tempatan serta memberi keutamaan kepada penilaian dan pendaftaran produk.

“(Selain itu), menambah baik ketelusan rantaian bekalan melalui pembangunan sistem penjejakan dan pengesanan produk farmaseutikal,” katanya..

Beliau berkata, kementerian juga sedang bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem farmaseutikal di negara bermula dengan penemuan kajian pra-klinikal dan klinikal, pengilangan, pengedaran dan sebagainya.

Jelasnya, kerjasama tersebut merentasi pelbagai kementerian dan agensi awam serta melibatkan sektor swasta khususnya pemain industri.

“Melalui sesi libat urus ini, kementerian berusaha mengenal pasti kekuatan dan kelebihan industri farmaseutikal tempatan bagi disyorkan semasa pembangunan pelan tindakan dan pelaksanaan kolaborasi strategik ASEAN Drug Security and Self-Reliance (ADSSR),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, Kementerian Kesihatan diberi mandat sebagai negara peneraju inisiatif antara negara ASEAN dengan objektif utamanya untuk memastikan keterjaminan ubat-ubatan di peringkat serantau, seterusnya meningkatkan lagi kemandirian penghasilan ubat-ubatan di rantau itu.

Katanya, kementerian sedang merangka polisi off-take susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2025 bagi menggalakkan pengukuhan kapasiti pengeluaran tempatan ubat-ubatan.

“Dengan adanya perancangan-perancangan ini, kementerian berharap bekalan ubat-ubatan untuk negara adalah mencukupi, terjamin, berkualiti, selamat dan berkesan untuk rakyat Malaysia pada masa hadapan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya