KUALA LUMPUR : Seramai 815 peserta Program Agropreneur Muda telah diluluskan untuk menerima geran RM15 juta secara keseluruhan dan RM5 juta bagi menjalani kursus tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Arthur Joseph Kurup berkata, jumlah tersebut merupakan rekod setakat hingga hari ini dengan pecahan empat sektor membabitkan sektor tanaman, industri asas tani, ternakan dan perikanan.
Katanya lagi, bermula Ogos tahun ini, geran untuk had maksimum Geran Agropreneur Muda (GAM) start up telah dinaikkan dari RM20,000 kepada RM30,000 dan kategori baru iaitu scale up juga telah diperkenalkan dengan nilai had maksimum sebanyak RM50,000.
“Untuk sektor tanaman, sebanyak 324 peserta telah mengambil bahagian iaitu 39.8 peratus, industri asas tana 181 peserta iaitu 34.5 peratus, ternakan 127 peserta iaitu 15.6 peratus dan perikanan 83 peserta iaitu 10.1 peratus.
“Peluang ini dibuka sepanjang tahun merangkumi Sabah dan Sarawak. Selain nilai had geran, kerajaan juga telah menaikkan had umur untuk start up bermula 18 sehingga 43 tahun, sementara scale up bermula 21 tahun sehingga 45 tahun,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Zulkafperi Hanapi di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Terdahulu, Zulkafperi meminta kementerian menjelaskan adakah kerajaan bercadang menambah dan membuka lebih banyak geran Agropreneur Muda pada masa akan datang dan adakah ia tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja.
Mengulas lanjut, Arthur juga berkata, terdapat geran lain turut akan diberi kepada peserta yang terlibat bagi mengembangkan lagi perniagaan yang sudah dijalankan.
“Empat sektor ini bila dah berjaya, boleh kembangkan bisnes itu kepada satu tahap lebih tinggi, kita ada geran lain untuk perluaskan pasaran seperti jika ada unsur pelancongan, kita ada agro pelancongan segi geran, bukan pinjaman dan jumlah itu sehingga RM200,000, untuk buat pembinaan, penambahbaikan dari segi premis pelancongan.
“Untuk memberi mesin, kita boleh tambah baik produk dengan geran maksimum RM60,000, malah ada yang sehingga RM200,000 untuk menaik taraf premis kilang,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, jika ada tanah terbiar dan terdapat peserta yang ingin menyewa tanah berkenaan untuk menjalankan tanaman seumpamanya, peserta juga layak memohon mendapatkan insentif yang disediakan kerajaan. – UTUSAN