KUALA LUMPUR: Sebanyak RM141.72 bilion pelaburan digital diluluskan kerajaan dan 41,078 peluang pekerjaaN diwujudkan dalam sektor ekonomi digital dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan kementerian untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam ekonomi digital.
Kata beliau, ia termasuk melalui kerjasama dengan syarikat tempatan dan antarabangsa yang seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pasaran Malaysia.
“Kementerian menetapkan bahawa pelaksanaan program dan inisiatif pendigitalan negara adalah mengutamakan pengukuhan infrastruktur digital, ketahanan siber dan pembangunan bakat digital.
“Tumpuan kita adalah melihat bagaimana kita boleh menarik pelaburan, menarik lebih perhatian kepada Malaysia sebagai satu hab digital.
“Kementerian juga memberikan tumpuan supaya peluang pekerjaan baharu akan wujud di Malaysia bertujuan mendukung ekosistem baharu ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menurut Gobind, Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IR) ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR).
“Buat masa ini, negara berada di Fasa 2 (2023 – 2025) apabila memberi tumpuan kepada usaha memacu transformasi dan inklusiviti digital dengan menitikberatkan inklusiviti dalam kalangan rakyat dan semua peringkat perniagaan.
“Fasa seterusnya 2026 – 2030 adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai negara pengeluar pasaran serantau bagi produk digital dan penyedia penyelesaian digital,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Gobind, Kerajaan Negeri Johor sedang meneliti 36 permohonan bagi pembangunan infrastruktur pusat data di negeri berkenaan.
Beliau berkata, sebanyak 10 pusat data mula beroperasi manakala tujuh masih dalam proses pembangunan di negeri berkenaan sehingga Oktober 2024.
“Kerajaan sentiasa mengimbangi keperluan pembangunan pusat data dengan potensi kawasan untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih luas.
“Perancangan kawasan khusus untuk pusat data seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bertujuan untuk memaksimumkan limpahan ekonomi dengan menarik pelaburan teknologi tinggi dan mampu menjana pendapatan tinggi untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN