PARLIMEN: Program Kesejahteraan Kesihatan buat semua Ahli Parlimen

PARLIMEN: Program Kesejahteraan Kesihatan buat semua Ahli Parlimen

TAN SRI DATO' JOHARI ABDUL-JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Kesejahteraan Kesihatan dilaksanakan di Parlimen buat julung kalinya dalam usaha mempromosikan inisiatif pembudayaan hidup sihat kepada setiap Ahli Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul berkata, terdapat tiga program bagi meningkatkan taraf kesihatan Ahli Parlimen iaitu Perkhidmatan Kesejahteraan Kesihatan Bergerak menerusi Wellness on Wheels (WoW), Inisiatif Perangi Gula (War on Sugar) dan Inisiatif 1,000 Hari Pertama Kehidupan (First 1,000 Days of Life).

“Ketiga-tiganya bertujuan menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat, termasuk pemakanan sihat serta kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan.

“Di bawah Teras 2 Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) iaitu Perkhidmatan Kesejahteraan Kesihatan, Wellness on Wheels (WoW) merupakan salah satu inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi pendekatan jangkau luar yang meliputi penyampaian maklumat kesihatan, kemahiran hidup sihat, serta perkhidmatan promosi dan pendidikan kesihatan terus kepada rakyat oleh Pegawai Pendidikan Kesihatan di seluruh negara.

“Perkhidmatan WoW secara komprehensif dan interaktif merangkumi saringan kesihatan, konsultasi pengurusan berat badan, konsultasi berhenti merokok, sesi demonstrasi aktiviti fizikal dan senaman. Inisiatif WoW akan diperluaskan ke seluruh negara bersama penglibatan Ahli Parlimen bermula 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kesejahteraan Kesihatan di Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, Johari turut akan membawa cadangan kepada Jawatankuasa Dewan untuk semua Ahli Parlimen membuat senaman regangan badan setiap tiga jam bagi meredakan ketegangan semasa sidang berlangsung.

Selain itu, kata beliau,  mulai minggu hadapan, persidangan Dewan Rakyat akan memanjangkan waktu perbahasan sehingga antara pukul 9 malam hingga 10 malam.

“Ini disebabkan terdapat banyak bil yang perlu diluluskan. Justeru, saya memberi amaran awal kepada setiap ahli Parlimen supaya sedia untuk pulang lewat dan pada masa sama untuk menjaga kesihatan agar dapat melaksanakan tugas kita,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kempen itu merupakan manifestasi kerjasama erat yang pertama antara institusi legislatif dan eksekutif demi kesejahteraan Ahli Parlimen bersama rakyat di kawasan mereka.

“Kerajaan bukan sahaja berperanan sebagai penggubal dasar, malah sebagai platform kepimpinan untuk mempengaruhi rakyat ke arah gaya hidup sihat demi meningkatkan produktiviti negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya