KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen akan datang.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kementeriannya mengadakan beberapa sesi libat urus (SLU) dengan pemegang taruh berkaitan susulan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa seksyen 4 dan 15B POCA bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan pada April 2022.
Kata beliau, cadangan pindan POCA sudah dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Disember 2023 dan susulan kelulusan itu, satu SLU khas bagi membincangkan cadangan tersebut dengan lebih terperinci dilaksanakan pada Februari lalu.
Mengambil kira maklum balas SLU tersebut, jelasnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah melaksanakan bengkel susulan pada Mac 2024 bagi meneliti pandangan dan memenuhi hasrat pemegang taruh yang telah diutarakan.
“Hasil bengkel susulan sudah dibentangkan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) melalui satu taklimat pada April lalu. Dalam taklimat tersebut, menteri mengarahkan agar SLU bersama pihak menteri-Menteri berkaitan diadakan sebelum memorandum diangkat untuk persetujuan Jemaah Menteri.
“Selepas beberapa siri perbincangan dan mesyuarat, KDN akan sekali lagi mengadakan SLU bersama menteri-Menteri berkaitan dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan alternatif pindaan POCA yang baharu.
“Sekiranya SLU ini mendapat respons yang positif, pindaan POCA dirancang untuk dibentangkan di Dewan yang mulia ini pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Chow Yu Hui (PH-Raub) yang memintanya untuk menyatakan garis masa terperinci bagi meminda POCA.
Menjawab soalan tambahan, Shamsul Anuar berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan rang undang-undang tersebut untuk tindakan pencegahan jenayah yang lebih berkesan dan mencapai matlamat lebih besar.
Jelasnya arahan penangguhan tangkapan di bawah POCA diberikan pada 22 April dan berkuatkuasa 28 April 2022.
“Saya nak bagi data terkini (mengenai) berapa kes yang memberi kesan, antaranya jenayah kekerasan. Kes pada tahun 2023, 17,198 meningkat kepada 20,391 (kes). Untuk jenayah harta benda, daripada 48,222 kes pada tahun 2023 meningkat kepada 51,941 (kes).
“Jenayah narkotik (pula) kalau kita lihat pada tahun 2023, 139,342 meningkat kepada 240,461. Sebab itu kita harap sesi libat urus nanti, kita akan dapat keputusan terbaik bagi membendung jenayah-jenayah besar yang sangat mencabar ini,” jelasnya.-UTUSAN