KUALA LUMPUR: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang memilih menggunakan e-Invois mulai 1 Julai 2025 akan menanggung kos antara RM3,000 hingga RM30,000 bergantung kepada saiz dan kompleksiti perniagaan dijalankan.
Bagaimanapun, kerajaan bersetuju untuk memberi pengecualian daripada pengeluaran e-Invois kepada peniaga kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM150,000 ketika ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kerajaan sangat menggalakkan penglibatan peniaga kecil dalam inisiatif e-Invois selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan perniagaan.
“Sebanyak 7,900 syarikat telah menggunakan sistem e-Invois dan 87 juta e-Invois telah dikeluarkan melaluinya setakat 19 November ini.
“Pengeluaran e-Invois itu melibatkan syarikat pembayar cukai bagi fasa pertama pelaksanaan sistem itu serta penyertaan lebih awal secara sukarela oleh syarikat yang sepatutnya dilakukan pada fasa dua dan fasa tiga.
“Bagi peniaga termasuk PMKS yang memilih untuk membangunkan sistem sendiri atau menggunakan pembekal teknologi, anggaran kos yang ditanggung PMKS adalah dalam lingkungan RM3,000 hingga RM30,000 bergantung kepada saiz dan kompleksiti perniagaan yang dijalankan oleh PMKS,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang meminta kerajaan menyatakan kos keseluruhan ditanggung PMKS apabila dikehendaki menggunakan e-Invois mulai 1 Julai 2025. Beliau juga bertanyakan bantuan Kerajaan kepada PMKS dalam melaksanakan e-Invois; dan bagaimana Kerajaan dapat menjamin keselamatan dan privasi data yang dikumpulkan melalui sistem berkenaan.
Menurut Lim, fasa pertama pelaksanaan e-Invois membabitkan syarikat besar dengan perolehan jualan tahunan melebihi RM100 juta, manakala fasa kedua yang bermula 1 Januari 2025 membabitkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan antara RM25 juta hingga RM100 juta.
Bagi fasa ketiga bermula 1 Julai 2025, pelaksanaan e-Invois diwajibkan kepada semua kategori pembayar cukai, katanya.
Mengulas lanjut, Lim berkata, kerajaan memberi tempoh peralihan selama enam bulan bagi memberi kelonggaran untuk syarikat mengeluarkan e-invois yang disatukan, serta e-Invois yang menggabungkan semua transaksi setiap bulan.
“Sepanjang tempoh peralihan ini, penalti tidak akan dikenakan kepada syarikat yang mengeluarkan sekurang-kurangya e-Invois yang disatukan,” katanya.-UTUSAN