KUALA LUMPUR: Imbuhan yang didakwa diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) adalah berdasarkan pencapaian syarikat menerusi keuntungan kasar dan operasi pada 2022 dan 2023
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keuntungan kasar dan operasi bagi dua tahun tersebut masing-masing sebanyak lebih RM317 juta.
“Kita melihat prestasi kewangan PHB yang baik kerana PHB telah melaksanakan inisiatif transformasi syarikat yang menjadi asas kepada pertumbuhan jangka masa panjang dan kelestarian perniagaan.
“Oleh itu, imbuhan dibayar, bukan disebabkan bonus dan sebagainya tetapi berdasarkan pencapaian apa yang mereka sudah laksanakan,” jelasnya ketika sesi penggulungan untuk Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Fadillah berkata, Jemaah Menteri sebelum ini menetapkan pengauditan bebas dijalankan ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi mengetahui kedudukan dan prestasi kewangan masing-masing.
“Namun, dasar baharu sekarang ini seperti mana yang diputuskan Kabinet bahawa semua GLC, GLIC akan dilihat dan perlu mengemukakan untuk masa depan mengenai bonus, imbuhan lawatan semua itu kena melalui proses tersebut. Justeru, auditor sekarang dibenarkan masuk ke GLC,” katanya.
Selain itu, beliau turut menafikan dakwaan berhubung Ketua Pegawai Eksekutif PHB menaja sebuah syarikat untuk makan malam yang diadakan pada 17 Februari lalu dengan menyatakan jamuan tersebut diadakan bertujuan untuk memasarkan unit Amanah Saham Bumiputera (ASB).
“Untuk lawatan luar negara memang tidak ada, mereka tidak pergi sebenarnya, tidak ada retreat ke luar negara sekalipun. Untuk malam itu sahaja mereka dapat menjual RM500,000 saham yang dibeli oleh alumni,” katanya.
Terdahulu, kerajaan digesa menyiasat isu tatakelola melibatkan PHB termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya yang diberikan bayaran khas berjumlah RM210,000 ketika syarikat itu hanya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) sebanyak 42 peratus.
Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, syarikat tersebut turut merancang menaja percutian mewah ke luar negara kepada 200 orang pekerjanya.
Bagaimanapun katanya, rancangan tersebut dibatalkan selepas mendakwa pendedahan berkenaan tular di media sosial. – UTUSAN