KUALA LUMPUR: Perolehan aset terpakai dari negara luar untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah amalan biasa dalam sektor pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, amalan itu bukan perkara yang memudaratkan hayat usia aset pertahanan negara.
“Saya ingin menyatakan bahawa pembelian aset terpakai dari negara lain merupakan satu amalan yang biasa dalam sektor pertahanan. Ia bukan satu perkara yang janggal atau memudaratkan.
“Indonesia pernah membeli pesawat pejuang terpakai Mirage, yang sebelumnya dipakai oleh Qatar. Thailand juga pernah memperolehi kenderaan tempur milik Amerika Syarikat (AS) dan begitu juga Croatia memperolehi pesawat pejuang Rafael dari Perancis,” katanya pada sesi penggulungan Mindef Rang Undang-undang Perbekalan 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pesawat-pesawat Hornet F-18 Kuwait Air Force (KAF) berada dalam keadaan yang sangat baik dengan tahap 90 peratus kebolehkhidmatan (serviceable) pada setiap masa.
“Pasukan teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapati jumlah jam penerbangan pesawat itu jauh lebih rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.
“Pasukan teknikal TUDM juga mendapati KAF mempunyai simpanan sehingga 10,000 alat ganti pesawat Hornet dan KAF mengesahkan bahawa mereka mempunyai hampir semua alat ganti kritikal yang diperlukan oleh TUDM.
“Berdasarkan bilangan itu, maka pengoperasian pesawat Hornet KAF, jika kita berjaya memperolehnya, maka dapat kita gunakan pesawat ini (sehingga) 2035,” katanya.
Pada 9 Oktober lalu, Mindef memaklumkan bahawa kerajaan Kuwait telah memberikan maklum balas yang positif tentang hasrat Malaysia untuk memperoleh pesawat tempur jenis F/A-18C/D Legacy Hornet milik KAF. – UTUSAN