KUALA LUMPUR: Negara-negara ASEAN perlu bekerjasama memperkukuh industri halal ke peringkat antarabangsa dengan rancangan itu dimulakan sebagai persediaan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, dalam hal tersebut Malaysia perlu terus menjadi pusat rujukan bukan sahaja dalam pensijilan halal, malah kepada industri halal secara keseluruhannya.
“Dalam konteks kita menyediakan kepakaran kita di peringkat Malaysia dan antarabangsa, seringkali dikemukakan adalah kita mempunyai kursus akreditasi, satu lagi adalah halal sebagai industri. Melalui pengalaman saya apabila berada di luar negara, mereka perlu ada sijil halal dari Malaysia dan negara kita adalah antara yang terbaik diperakui di seluruh dunia, Jadi, Malaysia perlu menjadi pusat rujukan di peringkat antarabangsa.
“Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN, kita sudah rancangkan melalui KPT dan kementerian lain termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya dapat mengemukakan konsep baharu, negara ASEAN supaya dapat bergabung bersama bukan hanya dalam pensijilan halal, tetapi industri halal akan dilaksanakan tahun depan,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Shahar meminta kementerian menjelaskan adakah Malaysia perlu mewujudkan pusat kajian industri halal di peringkat ASEAN sebagai penambahbaikan sektor industri halal yang boleh berkembang meluas dalam pasaran dunia.
Mengulas lanjut, Zambry turut berkata, usaha telah dijalankan di mana Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sedang meneroka industri halal ke peringkat antarabangsa.- UTUSAN