KUALA LUMPUR: Parlimen sedang memperhalusi agar pendengaran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) disiarkan langsung.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pihaknya kini mengkaji berhubung langkah itu setelah wujud permintaan agar ia dilakukan secara terbuka.
“Kita sedang kaji, ada permintaan untuk buat live. Tetapi ada isu tertentu, isu kerahsiaan.
“Tetapi kita sedang perhalusi,” katanya dalam sidang media selepas Simposium Parlimen Malaysia Kali Ketiga: ‘Parlimen: Tunjang Semak Imbang Negara’ di sini hari ini.
Sebelum ini, wujud permintaan agar pendengaran PAC disiarkan secara langsung supaya rakyat juga dapat mengetahui perkembangan satu-satu kes secara terbuka.
Ketika ini prosiding itu hanya melibatkan antara anggota PAC dengan menteri dan pegawai kanan serta individu tertentu yang dipanggil jawatankuasa tersebut.
Mengulas cadangan Jawatankuasa Parlimen Khas untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), Johari berkata, platform sedia ada sudah memadai untuk perkara tersebut.
“Tidak sebenarnya cukup ada Jawatankuasa Parlimen untuk ekonomi, PAC, mekanisme itu cukup.
“Cuma mereka harus bertindak lebih pantas, saya rasa PAC sudah hebat yang bermesyuarat hampir setiap hari.
“Insya Allah kita akan usahakan agar isu-isu dibangkitkan ini tidak terlepas pandang oleh PAC,” katanya.
Johari berkata, kerajaan telah meminda Akta Audit Negara yang membolehkan Ketua Audit Negara menjalankan pengauditan terhadap akaun 1,856 badan lain termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Katanya, langkah itu bertujuan agar pengauditan terhadap GLC untuk memastikan syarikat kerajaan diurus mengikut mandat sebenar khususnya demi kesejahteraan ekonomi rakyat.
Minggu ini, ahli Parlimen mencadangkan rasionalisasi badan berkanun, GLC dan GLIC dilaksanakan dengan tegas dan sistematik.
Ia termasuk penekanan terhadap tatakelola yang baik serta keperluan untuk membentangkan laporan kewangan atau pelaburan berkepentingan awam di Parlimen.
Ia merujuk kepada isu kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) baru-baru ini, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan isu pengurusan dan tatakelola dalam badan berkanun, GLC dan GLIC yang perlu ditangani segera. -UTUSAN