PARLIMEN: Pemilihan U Mobile melalui proses tender, bukan ‘direct award’ - Fahmi

PARLIMEN: Pemilihan U Mobile melalui proses tender, bukan ‘direct award’ – Fahmi

FAHMI FADZIL. IHSAN/JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemilihan syarikat U Mobile Sdn. Bhd. bagi melaksanakan Rangkaian 5G Kedua Malaysia adalah melalui proses tender, dan bukannya secara penganugerahan terus atau ‘direct award’. 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih Pengendali Rangkaian Mudah Alih Mobile Network Operator (MNO) yang akan melaksanakan Rangkaian 5G Kedua Malaysia.

Selain itu, kata beliau, pemilihan syarikat pelaksana rangkaian 5G kedua dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor.

“Antaranya, rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.

“Ini termasuk faktor sumbangan kepada projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) seperti Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 dan projek penaiktarafan 4G, yang selaras dengan komitmen MCMC untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan.

“Bagi pemilihan ini, komitmen-komitmen pengawalseliaan telah ditetapkan untuk memastikan pematuhan kepada standard yang ditetapkan. MCMC akan memantau komitmen ini dengan teliti dan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan akan dilaksanakan terhadap sebarang ketidakpatuhan,” katanya Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan  Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta Kerajaan Persekutuan menyatan sebab U Mobile Sdn. Bhd. diberikan lesen untuk melaksanakan rangkaian kedua 5G memandangkan 48.28 peratus saham ekuiti U Mobile dipegang oleh syarikat asing dari Singapura iaitu Straits Mobile Investment Pte Ltd.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, keperluan am pegangan ekuiti asing bagi lesen individu Pemberi Kemudahan Rangkaian (NFP) dan lesen individu Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) adalah maksimum 49 peratus manakala pegangan Bumiputera adalah sekurang-kurangnya 30 peratus.

Jelasnya, keperluan itu diperuntukkan melalui syarat khas lesen bagi suatu lesen individu selain ia tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu.

“Ketika ini, pegangan ekuiti asing di dalam U Mobile adalah masih di dalam lingkungan pematuhan syarat khas lesen yang dikeluarkan kepada U Mobile. U Mobile juga telah memberi komitmen di dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 2 November lalu untuk mengurangkan pegangan asing kepada 20 peratus, bagi memastikan kawalan yang lebih besar oleh rakyat Malaysia dan mengundang penyertaan daripada pelabur tempatan.

“Oleh yang demikian, keputusan untuk memilih U Mobile sebagai penyedia Rangkaian 5G Kedua Malaysia adalah tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu,” katanya. 

Selain itu, katanya, U Mobile juga komited untuk melaksanakan Rangkaian 5G Kedua Malaysia dengan bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk syarikat telekomunikasi lain untuk menyediakan perkhidmatan 5G bertaraf dunia kepada pengguna.

“U Mobile dibenarkan untuk bekerjasama dengan MNO lain bagi memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam pelaksanaan Rangkaian 5G Kedua Malaysia, tertakluk kepada kelulusan MCMC,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya