[Parlimen] Pelaburan, beli aset perlu dapat kelulusan MoF  - PAC

Parlimen: Pelaburan, beli aset perlu dapat kelulusan MoF  – PAC

MAS Ermieyati Samsudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan agensi dan anak  syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mara Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp) dan Mara Inc memastikan cadangan pelaburan di dalam dan luar negara termasuk pemerolehan aset bernilai tinggi seperti hartanah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan (MoF) terlebih dahulu.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, cadangan tersebut perlu mendapat kelulusan MOF  dan keputusan MOF perlu dipatuhi bagi mengelakkan skandal pembelian hartanah tidak berulang.

Menurut beliau, langkah itu berikutan PAC mendapati MARA Inc melakukan pembelian hartanah yang terlebih nilai di London, United Kingdom iaitu Beaumont House pada 2014 dan di Melbourne, Australia iaitu Dudley International House, 51 Queen Street dan 333 Exhibition Street pada 2013.

“Bagaimanapun, MOF  tidak meluluskan pembelian tersebut  namun KKDW telah merayu dan perkara ini telah dibawa kepada Majlis Ekonomi, yang kemudian memberi kelulusan pada 2013.

“Kes pembelian hartanah terlebih nilai di Melbourne, Australia telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kini, masih dalam perbicaraan mahkamah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, penemuan dan syor PAC berhubung Pengurusan Mara Inc adalah hasil daripada tiga prosiding yang telah diadakan pada 30 Julai 2024, 31 Julai 2024 dan 19 September 2024.

Saksi yang  memberi keterangan dan penjelasan melibatkan Timbalan Ketua Audit Negara (Syarikat),  Roslan Abu Bakar; Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Ketua Pengarah Mara, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf; Pengarah Perancangan Korporat Kumpulan Mara Corp, Datuk Amir Azhar Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MARA Inc, Mohd Fadzil Mohd Idris.

Selain itu, Mas Ermieyati berkata, PAC juga berpandangan tindakan Mara Inc memohon penukaran hutang sedia ada Premiera Hotel kepada ekuiti buat kali kedua selepas kali pertama pada 2015 adalah satu langkah yang seharusnya tidak berulang.

Justeru, katanya, PAC mengesyorkan KKDW, Mara, Mara Corp dan Mara Inc perlu memastikan Premiera Hotel mempunyai perancangan yang jelas untuk memastikan penukaran hutang kepada ekuiti dapat membantu memberi pulangan ke arah kelestarian syarikat.

“Turut disyorkan kepada KKDW, Mara, Mara Corp dan Mara Inc perlu memastikan semua projek pembangunan termasuk pembangunan hartanah dan projek tenaga boleh baharu serta pelan pemasaran disiapkan mengikut masa, kos, kualiti dan peruntukan ditetapkan agar dapat menjana keuntungan bersih yang tinggi.

“Selain itu, Mara Corp perlu tegas dalam mengawal selia semua anak syarikatnya supaya dapat menjana keuntungan dan mampu membayar balik hutang dan membayar dividen selaras dengan matlamat penubuhan.

“Pada masa sama, Mara Inc perlu menyediakan Pelan Operasi Standard (SOP) penyewaan hartanah yang lengkap supaya isu tunggakan sewa tidak berlaku dan tidak menjadi hutang lapuk dan hendak menggubal satu polisi yang lengkap dan jelas berhubung penilaian hartanah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya