Parlimen: NCD jadi beban ekonomi negara sehingga RM64.2 bilion 

Parlimen: NCD jadi beban ekonomi negara sehingga RM64.2 bilion 

DZULKEFLY AHMAD - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat penyakit tidak berjangkit iaitu kardiovaskular, kanser, diabetes dan  respiratori kronik menjadi  beban ekonomi negara yang dianggarkan berjumlah RM64.2 billion.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada empat penyakit tersebut, kos penjagaan kesihatan langsung adalah sebanyak RM12.4 billion manakala  kos tidak langsung sebanyak RM51.8 billion.

 Menurut beliau,  kos tidak langsung tersebut adalah ekoran  penurunan produktiviti dan kematian pra matang.

“Laporan ini memberi analisis berkaitan impak ekonomi akibat penyakit tidak berjangkit (NCD) serta mengenal pasti intervensi kesihatan awam yang menawarkan pulangan pelaburan terbaik untuk kesejahteraan jangka panjang.

“Laporan ini juga menggariskan empat intervensi utama yang memberi pulangan pelaburan (ROI) tertinggi dalam tempoh 15 tahun yang mana setiap RM1 yang dilaburkan dalam intervensi kesihatan awam dijangka memberikan pulangan seperti RM60.06 untuk program pengurangan garam;  RM6.64 untuk program aktiviti fizikal dan RM5.93 untuk program kawalan tembakau,” katanya di Dewan Banquet di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Laporan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit di Malaysia (Prevention And Control Of Non-Communicable Diseases In Malaysia: The Case For Investment Non-Communicable Diseases) dan Taklimat Penguatkuasaan Akta 852 dan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025-2030 kepada ahli parlimen.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, setiap RM1 yang dibelanjakan kerajaan untuk program pengurangan garam memberi pulangan pelaburan (ROI) sebanyak RM60.06 dalam tempoh 15 tahun.

“Pokoknya kalau kerajaan berbelanja membuat tumpuan dengan apa pun yang terkait dengan garam sama ada pengurangan garam, setiap RM1 yang kita belanja kita akan berakhir dengan seolah-olah mendapat RM60 pulangan.

“Bermaksud sama ada seseorang itu dapat mengelakkan serangan jantung, mengelakkan serangan angin ahmar, ataupun mengelakkan dia bila ada hypertension dia tak pergi kerja. Semua itu bila diukur dari sudut wang ringgit, ia akan memberikan pulangan setiap RM1 yang dimasukkan dalam tabung itu, kita dapat RM60 semula,” katanya.

Selain itu, Dzulkefly berkata, kerajaan bersedia untuk mengkaji semula undang-undang berkenaan kawalan terhadap rokok elektronik (vape) sekiranya terdapat penemuan baharu tentang kesan penggunaannya.

“Seperti mana yang lain undang-undang ia bukan statik, we will revisit. Untuk sekarang, ada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kawal selia untuk vape,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya