KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis meluahkan kekecewaan dan sedih terhadap peratusan rendah pelaksanaan projek di Sabah apabila negeri itu terus tercicir daripada pembangunan negara.
Kata Isnaraissah, berdasarkan data yang dibekalkan kerajaan, beliau mendapati semua daerah di Sabah berada di kedudukan tercorot berbanding tempat lain.
Justeru, beliau mempersoal fungsi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri yang lewat dalam melaksanakan projek atau program di negeri berkenaan.
“Saya sedih dan kecewa sebab (bila) saya rujuk jawapan Yang Berhormat (YB) Menteri (di Jabatan Perdana Menteri), dari semua wilayah itu Sabahlah yang paling tercorot.
“Sebagai orang Sabah, saya geram. Paling rendah sehinggakan program dan projek di negeri pun masih di bawah, hanya dibelanjakan 46 peratus daripada RM6.7 billion,” katanya mengajukan soalan tambahan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah Isnaraissah, merujuk jawapan yang diberikan di Dewan Rakyat bertarikh 27 Jun lalu menunjukkan hanya dua peratus dibelanjakan daripada RM330 juta diperuntukkan untuk Sabah.
“Saya rujuk lagi jawapan kepada YB Semporna (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) bertarikh 6 November lalu, setakat 21 Oktober lalu hanya tujuh peratus sahaja dibelanjakan daripada RM330 juta.
“Apa sebenarnya yang berlaku YB? Saya mahu tahu apa fungsi yang kita tubuhkan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri? Apa fungsi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri. Bukan saja projek pembangunan dilaksanakan (Kerajaan) Persekutuan lewat, malah di negeri juga lewat.
“Jadi, kita mahu cari penyelesaian untuk kita sama-sama menyelesaikan hal ini,” katanya.
Justeru, Isnaraissah mencadangkan supaya dilibatkan Ahli Parlimen dari Sabah dalam setiap mesyuarat suku tahunan untuk membantu mencari jalan menyelesaikan isu yang berlaku dalam projek pembangunan di Sabah
“Tolak dulu birokrasi, tolak dulu segala protokol. Marilah sama-sama kita selesaikan hal ini,” katanya.
Menjawab soalan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa menjelaskan, banyak projek pembangunan dijalankan di Sabah, malah negeri itu antara tertinggi berbanding negeri lain.
“Sebanyak 1,244 projek (di Sabah) antara yang tertinggi berbanding dengan negeri lain. Sebenarnya jumlah projek di Sabah ini banyak. Punca yang turut menyumbang kepada kelewatan kerana kapasiti untuk pelaksanaan itu agak rendah,” katanya.
Mengenai cadangan pembabitan Ahli Parlimen dari Sabah dalam pelaksanaan projek pembangunan, Dr. Zaliha berkata, terdapat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah dipengerusikan sendiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan diuruskan oleh Pejabat Pembangunan Sabah, selain turut dihadiri Ketua Jabatan Persekutuan dan negeri.
Beliau berkata, mesyuarat itu berperanan untuk menyelaras dan menangani isu serta permasalahan program atau projek pembangunan, termasuk berkaitan kesejahteraan rakyat di Sabah.
Beliau turut bersetuju dengan pembabitan sama Ahli Parlimen dalam proses atau projek pembangunan seperti yang dilakukan di Wilayah Persekutuan.
“Di Wilayah Persekutuan sendiri, kita libatkan Ahli Parlimen bersama sekurang-kurangnya ada dua peringkat di mana mereka boleh bertemu dengan Datuk Bandar dalam Majlis Konsultasi dengan Datuk Bandar.
“Kemudian kalau tidak berakhir di situ, tiga bulan sekali atau ‘quarterly’ akan berjumpa dalam Majlis Menteri Wilayah di mana mereka juga boleh menyuarakan semua masalah secara terus kepada saya.
“Saya setuju boleh diambil pendekatan seperti itu untuk kita mengadakan libat urus dengan Ahli Parlimen terlibat dengan projek pembangunan di kawasan masing-masing,” katanya. – UTUSAN