PARLIMEN: Malaysia salur lebih 5,000 tan bantuan ke Gaza

PARLIMEN: Malaysia salur lebih 5,000 tan bantuan ke Gaza

MOHAMAD Alamin di Dewan Rakyat, di sini, hari ini. - IHSAN JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM45 juta disumbangkan Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza sejak serangan Israel pada 7 Oktober 2023.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), semua sumbangan dan bantuan disalurkan melalui akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Malah, katanya lagi, lebih 5,000 tan metrik bantuan kemanusiaan dihantar ke Gaza melalui sempadan Rafah sejak Oktober tahun lalu.

“AAKRP telah membelanjakan hampir RM45 juta kepada beberapa agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), NGO tempatan dan agensi-agensi lain.

“Antaranya Pertubuhan Antarabangsa Serantau (UNRWA), Kedutaan Besar Malaysia di Unit Hal Ehwal Palestin di Aman, Jordan; NGO tempatan di bawah Op Ihsan, Persatuan Bulan Sabit Merah di Jordan, Mesir dan Palestin,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mordi Bimol (PH-Mas Gading) meminta kementerian menyatakan pendirian semasa Kerajaan Malaysia serta bentuk bantuan kemanusiaan yang telah dihulurkan dan kos diperuntukkan antara 2023 hingga 2024 bagi krisis kemanusiaan Gaza sejak Perang Hamas-Israel yang bermula 7 Oktober 2023 sehingga kini.

Selain itu, katanya, Malaysia juga menyalurkan bantuan pendidikan kepada para pelajar Palestin yang sedang melanjutkan pelajaran di negara ini di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kemudahan pembiayaan serta elaun sara hidup.

“Bayaran universiti di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kita bayar sepenuhnya manakala di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), kita telah minta mereka semua ini dapat memberikan diskaun. Alhamdulillah kebanyakan mereka telah memberi diskaun kepada para pelajar ini,” katanya.

Wisma Putra juga katanya memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Jordan untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan susulan penutupan pintu Rafah sejak 7 Mei lalu.

“Kini satu-satunya laluan bantuan yang masih beroperasi adalah melalui Lintasan Jambatan Raja Hussein di Jordan.

“Bahkan kita telah mendapat undangan dan telah bersetuju untuk turut serta dalam misi bantuan melalui penghantaran Air Bridge dengan kerjasama Kerajaan Jordan.

“Kita juga menyumbang AS$500,000 setiap satu kepada Pusat Kanser Raja Hussein dan Pertubuhan Amal Hashemite Jordan,” katanya.

Katanya lagi, Malaysia telah memberikan komitmen penuh dan turut serta dalam pembangunan semula Palestin.
“Ia penting bagaimana kita melihat sebuah negara yang mesti kita bantu dan mendapat kedaulatan dan dibina semula selepas pasca konflik ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya