KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan peguam yang fasih pelbagai bahasa dan tidak meminggirkan bahasa Melayu bagi menjadikan Malaysia setaraf negara luar.
Timbalan Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, untuk menjadi seorang peguam, perlu sekurang-kurangnya mempunyai kredit bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun beliau berkata, peguam juga perlu fasih dalam bahasa Inggeris kerana hampir sebanyak 90 peratus buku yang digunakan peguam adalah dalam bahasa tersebut.
“Kita perlu faham berdasarkan Akta Bahasa Kebangsaan memang wajib menggunakan bahasa Melayu di mahkamah dan menggunakan bahasa Inggeris sekiranya ia wajar dalam sesuatu keadaan sahaja.
“Kalau dia tidak fasih, saya kurang pasti dia boleh jadi seorang peguam yang boleh pergi ke mahkamah.
“Selain daripada itu, peguam-peguam juga perlu fasih dalam pelbagai bahasa supaya setaraf dengan peguam negara lain yang menggunakan bahasa Inggeris untuk mengadakan perbincangan dan perjanjian sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang menyatakan adakah kerajaan berhasrat menyemak kembali Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB) mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) setaraf sijil SPM atau STPM dan adakah kerajaan akan memperkasakan penguasaan Bahasa Melayu kepada peguam bela atau peguam cara.
Tambah beliau, kos pengoperasian LPQB bagi tempoh lima tahun terdahulu adalah sebanyak RM10,979,382.58.
“Perbelanjaan ini merangkumi kos-kos pembiayaan operasi Lembaga Kelayakan seperti pembayaran gaji, elaun dan caruman pekerja (KWSP dan PERKESO), penyewaan pejabat, bil utiliti, fi insurans takaful perubatan kakitangan, perolehan bekalan.
“Selain itu, kos perkhidmatan, penyelenggaraan aset-aset pejabat, fi guaman dan lain-lain kos yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN