Parlimen: Lebih 100,000 alatan perubatan di hospital  usia lebih 10 tahun

Parlimen: Lebih 100,000 alatan perubatan di hospital  usia lebih 10 tahun

DZULKEFLY Ahmad - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 peralatan perubatan di hospital awam di seluruh negara  sudah mencapai usia lebih sedekad tetapi  masih terus digunakan untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya memberikan perhatian terhadap keperluan penggantian peralatan yang sudah tidak lagi boleh dibaiki atau dilakasifikasi  beyond economy repair (BER).

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk memastikan semua peralatan adalah dalam keadaan terbaik dan diselenggara.

“Sehingga kini, terdapat sebanyak 102,646 bilangan peralatan perubatan yang berusia melebihi 10 tahun tetapi  masih aktif.

“KKM sentiasa memastikan peralatan ini boleh digunakan dengan baik dan optimum serta diselenggara mengikut ketetapan pengilang dan piawaian melalui program penyelenggaraan komprehensif bagi memastikan peralatan perubatan selamat digunakan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan  Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) yang memintanya menyatakan berapa jumlah alatan dan kelengkapan perubatan yang melebihi umur 10 tahun kepenggunaan dan apa tindakan bagi mengganti alatan tersebut.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, KKM mengambil pelbagai inisiatif dalam usaha mengoptimumkan peruntukan tersedia bagi memastikan peralatan dalam keadaan yang baik.

Kata beliau, antaranya melaksanakan perolehan peralatan secara sewaan agar peralatan yang dibekalkan sentiasa dalam keadaan baik, mengikut perkembangan teknologi semasa serta diselenggara secara optimum mengikut standard yang ditetapkan.

“Selain itu, melaksanakan perolehan secara pusat untuk menambah kuasa beli KKM dan memastikan perolehan tersebut mendatangkan value for money tanpa berkompromi terhadap kualiti peralatan perubatan yang diperoleh. Disamping itu, KKM juga dapat menyelaraskan spesifikasi peralatan mengikut keperluan setiap perkhidmatan untuk mengelakkan pembaziran.

“KKM juga memperkenalkan konsep tender secara reagent rental bagi membolehkan mesin-mesin analyser dapat dibekalkan ke semua hospital tanpa memerlukan peruntukan one-off yang besar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, KKM sedang melaksanakan perolehan Fasa 1 melibatkan 590 unit kenderaan ambulans dan 41 unit Patient Transport Service Vehicle (PTSV) dengan kos keseluruhan sebanyak RM 265.5 juta.

Katanya, KKM diberikan kelulusan peruntukan sebanyak RM304 juta di bawah perolehan Fasa 2 kenderaan ambulans.

“Manakala bagi kenderaan lain, sehingga November 2024, KKM telah menerima permohonan penggantian kenderaan bagi hospital hospital dan institusi khas KKM sebanyak 75 unit dengan nilai RM11.6 juta.

“Permohonan ini adalah untuk menggantikan kenderaan yang telah uzur, BER dan perlu dilupuskan,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya