KUALA LUMPUR: Kapal tempur pesisir (LCS) pertama dijadualkan siap akhir tahun ini mengikut jadual ditetapkan dalam kontrak.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, status kemajuan semasa bagi perolehan LCS secara keseluruhan merangkumi elemen rekabentuk, pembinaan, peralatan serta ujian.
Kata beliau, status kemajuan yang berakhir pada 25 Ogos lalu adalah sebanyak 69.58 peratus berbanding perancangan iaitu 69.50 peratus dengan perbezaan sebanyak 0.08 peratus (melebihi jadual daripada yang dirancangkan).
“Berdasarkan perancangan perbatuan yang terkandung dalam kontrak yang telah ditandatangani, fasa akhir pembinaan kapal LCS pertama akan disiapkan pada penghujung tahun 2024 sebelum menjalani ujian seperti Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk tempoh 2 tahun.
“Bagi Kapal LCS kedua pula, ia akan turun ke permukaan air sebelum menjalani HAT dan SAT pada pertengahan tahun 2025,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang meminta kerajaan menyatakan perancangan menyegerakan pembinaan kapal LCS bagi menghadapi ancaman luar terhadap kawasan zon ekonomi dan kepulauan milik Malaysia di perairan Laut China Selatan yang semakin meningkat.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan sentiasa dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi untuk mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan kesiagaan aset berada pada tahap yang optimum.
“Kementerian akan memastikan kesiagaan aset berada pada tahap yang optimum dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan di perairan negara terutamanya di Laut China Selatan,” katanya.- UTUSAN