KUALA LUMPUR: Kurikulum Persekolahan 2027 meletakkan penguasaan literasi dan numerasi sebagai fokus utama Tahap 1 peringkat sekolah rendah.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, fokus tersebut bertujuan memastikan murid menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira sebelum mengikuti persekolahan Tahap 2.
Kata beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) ingin memastikan murid dapat menguasai literasi dan numerasi bagi membolehkan mereka bersedia mengikuti pembelajaran di tahap seterusnya.
“Semakan kemajuan murid diadakan bertujuan memastikan penguasaan literasi dan numerasi murid. Murid yang belum menguasai literasi dan numerasi diberikan intervensi yang bersesuaian agar mereka tidak tercicir dalam pembelajaran.
“KPM yakin inisiatif yang dirancang ini dapat meningkatkan tahap penguasaan literasi dan numerasi dalam kalangan murid sekolah rendah agar tidak terus ketinggalan dalam sistem pendidikan negara,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang memintanya menyatakan apakah bentuk silibus baharu diguna pakai menjelang 2027.
Aminolhuda turut meminta Kah Woh menjelaskan bagaimana KPM merancang untuk meningkatkan tahap pencapaian pelajar dari sudut literasi dan numerasi.
Kah Woh berkata, KPM mewujudkan Pasukan Petugas Khas Intervensi Kurikulum iaitu satu dari pasukan di bawah Reformasi Pendidikan yang bertanggungjawab melaksanakan inisiatif menangani isu keciciran pembelajaran dalam kalangan murid.
Jelasnya, antara inisiatif dilaksanakan dalam intervensi kurikulum adalah pengesanan awal literasi dan numerasi murid Tahun Satu.
“Pengesanan ini dilaksanakan seawal tiga bulan pertama persekolahan Tahun Satu yang bertujuan mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.
“Pengesanan ini juga akan dapat mengenal pasti murid yang belum menguasai literasi dan numerasi supaya intervensi awal yang sesuai dapat dilaksanakan.
“Pelaksanaannya akan dapat mengurangkan bilangan murid sekolah rendah yang belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) seterusnya membina keyakinan diri untuk belajar dan berkomunikasi dengan berkesan pada tahap persekolahan yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata, KPM sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara seperti penstrukturan semula sistem prasekolah dan intervensi kurikulum.
“Kelas prasekolah akan diperluas ke seluruh institusi pendidikan di bawah KPM dalam usaha memastikan isu keciciran murid termasuk penguasaan literasi dan numerasi dapat ditangani dari peringkat awal,” jelasnya.-UTUSAN