KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan lima strategi dan inisiatif bagi merapatkan jurang nisbah doktor di Sabah yang kini seorang doktor untuk 900 orang penduduk.
Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, antara strategi itu adalah memberi keutamaan kepada pegawai perubatan yang merupakan anak kelahiran Sabah untuk berkhidmat di negeri berkenaan.
Selain itu, kata beliau, KKM juga menempatkan lebih ramai pegawai perubatan yang menamatkan pengajian kepakaran dan pakar perubatan tetap serta kontrak di Sabah.
Jelasnya, usaha untuk mengisi jawatan pegawai perubatan dan pakar perubatan yang masih kosong di Sabah juga diteruskan.
“KKM juga melaksanakan pendekatan lebih inovatif iaitu menggabungkan perkhidmatan kepakaran dalam lingkungan fasiliti tertentu menerusi konsep hospital kluster dan melaksanakan konsep visiting specialist bagi Pakar Perubatan menyampaikan perkhidmatan kepakaran kepada penduduk di luar bandar.
“KKM juga meneruskan pelbagai insentif untuk menarik dan mengekalkan petugas kesihatan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, antaranya kemudahan Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan dan sebagainya,” katanya waktu Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang meminta kerajaan menjelaskan strategi untuk merapatkan jurang nisbah doktor di Sabah berbanding peringkat kebangsaan satu doktor kepada 412 orang penduduk.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, berdasarkan unjuran perancangan fasiliti dan pemerkasaan perkhidmatan kesihatan di Sabah hingga tahun 2030, nisbah doktor di negeri tersebut akan menjadi lebih baik.
“Ia dijangka menyumbang kepada peningkatan nisbah doktor kepada penduduk yang lebih baik iaitu daripada nisbah 1 doktor kepada 697 penduduk kepada nisbah 1 doktor kepada 582 penduduk,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, nisbah katil bagi setiap 1,000 penduduk di Sabah meningkat daripada 1.52 kepada 1.77 dengan sasaran tambahan 1,941 buah katil di hospital kerajaan yang bakal siap menjelang 2030.
Untuk unjuran Bed-to-Total Population Ratio (BPR), pengiraan turut melibatkan katil-katil hospital kerajaan bukan KKM dan hospital swasta di mana melibatkan 40 buah katil di hospital Kementerian Pertahanan.
“Ia juga melibatkan katil di bawah projek Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dijangka siap menjelang 2026 dan melibatkan unjuran katil di hospital swasta dengan kadar peningkatan sebanyak lima peratus mengikut polar sumbangan pihak swasta di Sabah dalam tempoh lima tahun terkini,” katanya. – UTUSAN