PARLIMEN: Kesuma cadang tempoh latihan amali 9 bulan

PARLIMEN: Kesuma cadang tempoh latihan amali 9 bulan

STEVEN Sim semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bercadang melanjutkan tempoh latihan amali dari tiga bulan kepada sembilan bulan bagi mendedahkan pelatih kepada situasi sebenar alam pekerjaan.

Menterinya, Steven Sim berkata, cadangan tersebut selepas melihat kejayaan Insentif Latihan Amali Ilham (Ilham) dalam membantu mahasiswa memperkasakan kemahiran golongan tersebut.

Kata beliau, Kesuma mendapati lebih 40 peratus pelatih yang menjalani latihan di bawah Ilham berjaya mendapat pekerjaan di syarikat sama mereka jalani latihan industri.

Jelasnya, Ilham merupakan hasil kerjasama antara Kesuma, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pihak universiti bagi menawarkan latihan atau program amali berstruktur.

“Jadi, mereka bukan pergi kerja sebagai pelatih  sahaja (untuk) angkat beg dan bancuh kopi, tetapi berstruktur kerana mereka benar-benar dapat mempelajari on the job tertentu dan berbayar.

“Mereka dibayar bukan untuk menjalani latihan industri secara percuma. Tapi di bawah program Ilham kita menyasarkan lebih 20,000 hingga 30,000 peluang latihan alami ditawarkan kepada mahasiswa.

“Latihan ini tiga bulan sekarang dan kita dalam perbincangan dengan pihak universiti dan KPT untuk memanjangkan lagi tempoh latihan industri,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang membangkitkan persoalan mengenai nasib pelatih industri dalam kalangan graduan yang dikatakan tidak mempunyai kemahiran setimpal dengan tahap pendidikan.

Dalam perkembangan sama, Steven menafikan kadar guna tenaga tidak penuh atau underemployment berkaitan kemahiran meningkat kepada 100,000 orang.

Jelasnya,  laporan tenaga buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencatatkan guna tenaga tidak penuh berkaitan mereka yang mempunyai pendidikan tinggi pada suku ketiga tahun ini ialah 36.8 peratus.

“Ini sebenarnya penambahbaikan kalau dibandingkan suku tahun kedua tahun ini, iaitu 37 peratus. Kalau dibandingkan dengan suku sama pada 2023 juga merupakan satu peningkatan iaitu pada 2023 suku tahun ketiga, kadarnya adalah 37.3 peratus.

“Jadi, kenyataan Alor Setar bahawa guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran tinggi meningkat seramai 100,000 pekerja itu adalah kurang tepat, sebab data sebenar tidak menunjukkan peningkatan seramai itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya