KUALA LUMPUR: Kesan terhadap harga barangan import adalah berbeza meskipun nilai ringgit kukuh dan berpotensi memperlahan kadar kenaikan tersebut.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, setakat ini inflasi kekal sederhana dengan purata inflasi keseluruhan dan teras sebanyak 1.8 peratus sejak awal tahun sehingga kini.
“Inflasi dijangka berada dalam lingkungan 1.5 peratus hingga 2.5 peratus untuk tahun ini. Pada tahun 2025, inflasi dijangka kekal sederhana dalam lingkungan 2 peratus hingga 3.5 peratus, berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.
“Risiko kenaikan inflasi bergantung pada tahap kesan limpahan langkah-langkah dasar dalam negeri serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran Kewangan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta kementerian menjelaskan sekiranya ringgit mengukuh 10 peratus, sepatutnya akan berlaku penurunan tujuh peratus kos makanan dalam tempoh enam bulan iaitu pada suku pertama 2025 nanti.
Dalam masa yang sama, Amir menjelaskan kesan pelaksanaan penyasaran subsidi tetap mengekalkan kadar inflasi pada tahap yang rendah.
“Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan September 2024 telah menurun kepada 1.8 peratus berbanding 1.9 peratus bulan Ogos 2024. Pelaksanaan penyasaran subsidi juga merupakan faktor yang meningkatkan keyakinan pelabur dan menyumbang kepada prestasi ringgit, FDI dan Bursa yang lebih kukuh.
“Pertumbuhan ekonomi juga lebih bertambah baik iaitu daripada 3.7 peratuspada tahun 2023 kepada 4.2 peratus pada suku pertama 2024 dan selanjutnya 5.9 peratus suku kedua tahun ini,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan bersetuju menyediakan mekanisme untuk membuat rayuan melalui pelbagai saluran bagi memastikan penyasaran subsidi akan terus dimantapkan supaya tiada golongan yang memerlukan bantuan tercicir, terutama melibatkan golongan rentan.
“Kerajaan masih meneliti pendekatan yang akan digunakan bagi menentukan Kumpulan T15 bagi penyasaran subsidi RON95 dan tidak akan terikat secara terus dengan definisi tahap pendapatan isi rumah Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS).
Kerajaan akan meneliti perkara ini sebelum ia dimuktamadkan mengambil kira kriteria tambahan selain daripada pendapatan,” katanya.
Kata beliaui, kerajaan tetap berpendirian bahawa penyasaran subsidi perlu dilaksanakan seperti mana perancangan iaitu pada pertengahan tahun 2025.
“Tujuan kita bukan untuk bebankan rakyat, sebaliknya adalah untuk mengekang ketirisan dan penyeludupan subsidi yang selama ini dimanfaat oleh warga asing dan sektor perniagaan. Majoriti rakyat kekal dengan harga bersubsidi dan penjimatan yang diraih dipulangkan semula untuk manfaat rakyat terbanyak,” ujarnya. – UTUSAN