PARLIMEN: Kerajaan tumpu penggunaan AI atasi serangan siber 

PARLIMEN: Kerajaan tumpu penggunaan AI atasi serangan siber 

ADLY ZAHARI-JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menumpukan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam keselamatan siber untuk mengesan serta bertindak balas terhadap serangan siber dan melindungi rangkaian kritikal.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kementerian sedang menjalankan kajian mendalam mengenai aplikasi teknologi AI dalam sektor pertahanan. 

Beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha strategik untuk merapatkan jurang keupayaan dalam aspek tersebut.

“Antaranya penggunaan AI dalam sistem persenjataan yang menumpukan kepada keupayaan teknologi AI dalam meningkatkan ketepatan serangan sambil mengurangkan kerosakan sampingan semasa operasi ketenteraan.

“Selain itu, penggunaan AI dalam keselamatan siber  yang menumpukan kepada penggunaan AI untuk mengesan, mencegah serta bertindak balas terhadap serangan siber bagi melindungi rangkaian kritikal.

“Penggunaan AI juga akan menumpukan pemprosesan dan analisis data bagi memproses data dari pelbagai sumber untuk mengenal pasti corak dan ancaman, lalu meningkatkan kesedaran situasi dan keupayaan pertahanan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang meminta kementerian menyatakan kesediaan kerajaan untuk melaksanakan penggunaan teknologi AI yang menyeluruh dalam sektor ketenteraan bagi memperkukuh lagi keupayaan pertahanan Malaysia dan aspek ketenteraan pada masa kini.

Tambah Adly, memanfaatkan AI dalam membuat keputusan secara pantas adalah elemen penting dalam memperkukuhkan kawalan dan operasi ketenteraan.

Bagaimanapun beliau berkata, pembangunan infrastruktur AI yang kukuh dan selamat perlu diwujudkan terlebih dahulu bagi menyokong sistem pertahanan.

“Pada masa yang sama, kerajaan turut menekankan pembangunan bakat, kolaborasi dengan institusi akademik dan industri serta merangka kerja etika yang jelas untuk memastikan penggunaan AI dijalankan secara bertanggungjawab dan selaras dengan etika antarabangsa,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya