KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh semberono sama ada untuk melepas atau membebaskan kanak-kanak GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang diselamatkan dalam Op Global baru-baru ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kes berkaitan GISBH melibatkan pelbagai pihak yang berkolaborasi dan bukannya satu pihak sahaja.
Oleh itu, kata beliau, terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti mengikut lunas undang-undang yang ada.
“Semua perkara tidak boleh secara semberono maka dengan itu kita memberikan suatu kepercayaan dan juga keyakinan bahawa agensi ini memainkan peranan sebaiknya selaras untuk melindungi kebajikan semua mereka yang terlibat,” katanya semasa Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang menyoal sampai bila 600 kanak-kanak yang terlibat dengan GISBH itu akan ditahan.
Menjawab soalan mengenai GISBH yang didakwa meneruskan amalan Aurad Muhammadiyah, Zulkifli berkata, sebelum kerajaan meneruskan sebarang pendakwaan, kerajaan akan melihat dari segi aspek akidah dan ketetapan hukum terlebih dahulu.
“Jadi saya kongsikan di sini bahawa beberapa negeri sehingga Oktober telah membuat ketetapan hukum: Negeri Perlis, Pahang, Selangor termasuk juga Muzakarah MKI juga telah bersidang dan telah menetapkan beberapa ketetapan hukum dan ketetapan hukum ini yang akan menjadi rujukan, di antaranya untuk melakukan pendakwaan.
“Selain itu, untuk memastikan sebelum pendakwaan dibuat itu, bukti-bukti itu perlu dipastikan kesahihan dan juga kekuatan dari segi aspek bukti itu sendiri.
“Jadi dari aspek ini kita serahkan kepada pihak berkuasa terutamanya daripada pendakwa syarie untuk meneliti perkara ini dengan lebih baik,” katanya.- UTUSAN