KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan dua dana baharu di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) iaitu Dana Pemacu Pelaburan Domestik (DIAF) dan Dana Pemacu Pelaburan Asing (FIAF).
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, pengenalan dua dana tersebut merupakan kesinambungan kepada Dana Strategik Pelaburan Tempatan (DISF) dan Dana Berimpak Tinggi (HIF).
“Pengenalan dua dana tersebut adalah selari dengan dasar semasa kerajaan di bawah kerangka ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030),” katanya semasa Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai rancangan kerajaan untuk mengembalikan DISF dan HIF yang membantu syarikat tempatan meningkatkan teknologi dan mencapai tahap antarabangsa.
Mengulas mengenai DIAF, Chin Tong berkata, dana tersebut antara lain bertujuan membantu syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Syarikat Pertengahan Tempatan (MTC) dalam mendapatkan pensijilan atau verifikasi dalam mengadaptasi elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) melalui geran padanan dengan nisbah 50:50 atau 70:30 bagi perbelanjaan yang layak.
Bagaimanapun, jelasnya, ia bergantung kepada penilaian projek dan tertakluk kepada jumlah maksimum RM500,000 bagi setiap syarikat.
“DIAF juga akan ditawarkan melalui skop subsidi kadar faedah 3 peratus bagi tujuan pinjaman sewa beli atau Term Loan untuk tempoh 12 bulan ke atas perbelanjaan modal yang layak bagi projek automasi dan digitalisasi,” katanya.
Beliau berkata, FIAF pula telah diperkenalkan dalam usaha menarik pelaburan asing berkualiti tinggi selaras dengan sasaran yang telah ditetapkan di bawah NIMP 2030.
“Dana ini juga adalah dalam bentuk geran padanan kepada syarikat yang layak dengan nisbah 50:50 bagi perbelanjaan yang layak.
“Dana FIAF ini merangkumi dua jenis aktiviti iaitu Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi (R&D&I) yang dijalankan di Malaysia, dan latihan teknikal bagi pekerja tempatan sepenuh masa,” jelasnya.- UTUSAN