KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membanteras penyelewengan minyak masak paket bersubsidi daripada disalahguna oleh mana-mana pihak, supaya kegiatan itu tidak terus berleluasa.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Fuziah Salleh, sebanyak 60 juta minyak masak paket bersubsidi dikeluarkan pada setiap bulan.
Kata beliau, kerajaan menggunakan satu sistem yang membantu menjejaki minyak masak tersebut daripada pembungkus kepada pemborong hingga ke peruncit.
“Peruncit pula diminta untuk mengisi buku log bagi mengetahui minyak masak paket bersubsidi itu dijual kepada siapa, akan tetapi selepas peruncit itu ada kala mereka tidak menyimpan buku tersebut dengan baik.
“Kebelakangan ini kita boleh lihat penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bekerja 24 jam untuk memastikan tidak berlaku ketirisan ke atas barang-barang bersubsidi terutama minyak masak paket.
“Namun, tetap ada pihak-pihak yang akan mengambil kesempatan. Contohnya, mereka menggunakan minyak masak subsidi ini di restoran, jadi perkara ini akan dibanteras habis-habisan,” katanya semasa Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta kementerian menjelaskan mekanisme diambil untuk memastikan minyak masak paket bersubsidi hanya dijual kepada golongan sasaran.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, kerajaan akan memastikan penyasaran subsidi petrol RON95 tidak memberi impak kepada harga barangan keperluan.
“Faktor turun naik (harga barangan keperluan) adalah faktor lebih global tetapi apa yang KPDN akan lakukan adalah memastikan bahawa segala tindakan (seperti) apabila kita menyasarkan subsidi diesel, kita memastikan penyasaran subsidi itu tidak meninggalkan kesan pada harga barang.
“Seperti yang kita telah lakukan dengan penyasaran subsidi diesel, kita berikan subsidi (secara) fleet card dan sebagainya. Jadi, itu yang kerajaan sedang lakukan,” jelasnya. – UTUSAN