KUALA LUMPUR: Kerajaan melakukan pemantauan terhadap madrasah dan pusat tahfiz khususnya bagi mengelak isu penyelewengan agama serta eksploitasi pelajar melalui kutipan derma atas alasan pembinaan ataupun pengoperasian pusat tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan memberi penekanan serius terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh madrasah dan pusat tahfiz.
Kata beliau, semua madrasah dan pusat tahfiz diwajibkan mendaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) sepertimana yang diperuntukkan di dalam Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam di negeri negeri.
“Hal ini adalah bertujuan supaya penubuhan madrasah atau pusat tahfiz adalah menepati piawaian serta tidak menjalankan aktiviti-aktiviti yang menyeleweng ataupun melanggar undang undang.
“Selain itu, kerajaan bekerjasama erat dengan PBAN untuk memantau operasi serta aktiviti yang dijalankan oleh madrasah serta pusat tahfiz khususnya berkaitan penyelewengan agama dan eksploitasi pelajar melalui kutipan derma atas alasan pembinaan ataupun pengoperasian,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd Na’im berkata, kutipan derma untuk tujuan khairat bagi memajukan agama Islam mestilah mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam Negeri terlebih dahulu.
“Seksyen 84 Akta Undang-Undang Pentadbiran Islam Wilayah Wilayah Persekutuan contohnya telah memperuntukkan bahawa kutipan khairat yang dibuat tanpa kebenaran majlis jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau kedua-duanya.
“Peruntukan ini dibuat bagi mengawal salah laku individu atau kumpulan yang menggunakan nama agama untuk kepentingan sendiri.
“Selain itu, peruntukan ini juga bertujuan untuk memastikan kutipan yang dibuat atas nama khairat mestilah telus dan benar benar disalurkan ke tempat yang sewajarnya,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, madrasah atau pusat tahfiz yang terlibat dengan salah laku jenayah seperti penderaan dan liwat akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan undang-undang atau peraturan yang berkaitan bagi menjalankan siasatan.
“Jakim dan PBAN akan sentiasa memberi kerjasama penuh kepada PDRM menerusi libat urus untuk memastikan tindakan yang tepat dapat diambil terhadap kes-kes ini,” katanya.- UTUSAN