KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan memberi kewarganegaraan secara borong kepada 1.2 juta warga China yang didakwa tidak keluar dari negara ini melalui Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan sebelum ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dakwaan tersebut merupakan fitnah yang sangat dahsyat dan seharusnya dihentikan segera.
Kata beliau, kerajaan hanya memberi kewarganegaraan kepada 103 rakyat China, mengikut Peruntukan 15(1) Perlembagaan Persekutuan.
“(Hanya) 103 orang, bukan 1.2 juta (orang). Yang kita bagi warganegara Malaysia di bawah kategori 19(1) maknanya suami warga asing, kahwin dengan wanita tempatan, warga China di bawah kategori tersebut yang kita bagi warganegara (adalah) 100 orang.
“Itulah jumlahnya sejak tahun 2013, ini hiruk pikuk (dakwa) bagi warganegara secara borong dan memainkan sentimen,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau mempunyai sejumlah laporan yang dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung pemimpin-pemimpin yang memainkan sentimen berhubung isu kewarganegaraan itu.
“Saya ada sejumlah rekod laporan polis pemimpin mana yang memainkan isu ini di dalam masjid (dan) surau. Sebab itu polis buka siasatan bawah 3R (agama, raja dan kaum).
“Tanpa tanggungjawab memainkan sentimen sebab ini (soal rakyat) China, sekarang biar data berbicara,” katanya.
Tambahnya, kemasukan rakyat China ke dalam negara melalui pelbagai pas yang dibenarkan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“(Soal) 1.2 juta (pelancong China), Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Larut (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) sendiri sebut (bahawa) itu tidak betul kerana yang masuk ke sini (Malaysia), masuk dengan pelbagai jenis pas yang dibenarkan Akta 155.
“Akta yang sama saya kuat kuasakan hari ini, ketika saya (menjadi) Menteri Dalam Negeri,” ujarnya. – UTUSAN