KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui Pusat Jagaan Autisme telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mencukupi untuk menampung jumlah kanak-kanak istimewa itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebanyak 33 buah Pusat Jagaan Autisme telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Oktober 2024.
Namun kata beliau, bagi pendaftaran Orang Kurang Upaya Masalah Pembelajaran bagi kategori austime pula seramai 65,191 orang bagi tempoh yang sama.
“KPWKM mengambil maklum bahawa perkadaran nisbah di antara bilangan OKU autisme berdaftar berbanding bilangan pusat autisme di seluruh negara di bawah kendalian JKM atau agensi kerajaan yang lain, tidak mencukupi.
“Kerajaan sentiasa cuba melaksanakan inisiatif yang dapat memberi sokongan perkhidmatan ini dari semasa ke semasa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Haji Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang meminta kerajaan menyatakan perancangan kementerian bagi meningkatkan bilangan pusat autisme di seluruh negara dan sejauh mana bantuan serta insentif yang diberikan kepada pengusaha swasta dalam usaha itu.
Tambah Nancy, beberapa inisiatif telah dilaksanakan bagi merapatkan jurang penawaran dan permintaan terhadap perkhidmatan dan sokongan autisme, ia termasuk kerjasama dengan komuniti serta badan-badan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (PSK).
“Usaha dan sokongan bagi perkhidmatan program intervensi dan rehabilitasi untuk autisme adalah bersifat rentas kementerian dan memerlukan pelbagai kepakaran dan sokongan.
“Pendekatan ini perlu bagi memastikan sokongan yang diberikan adalah bersifat holistik dan
menyokong ke arah perkembangan, kesamarataan hak dan peluang serta penyertaan aktif OKU autisme,” katanya. – UTUSAN