KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui berlaku kenaikan kos untuk membina rumah mampu milik (RMM) disebabkan peningkatan harga hartanah.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah berkata, KPKT akan mengimbangi antara keperluan menyediakan RMM dengan harga mampu milik tanpa mengenepikan aspek kualiti pemajuan rumah.
Beliau berkata, antara cabaran dalam sektor perumahan adalah peningkatan harga hartanah dan kekurangan RMM.
“Peningkatan harga rumah dipengaruhi pelbagai faktor antaranya lokasi rumah yang strategik, kos pembinaan rumah, kos infrastruktur, kos tanah, kos pematuhan serta keuntungan pemaju.
“Manakala, kekurangan RMM adalah disebabkan oleh beberapa faktor antaranya kos pembinaan rumah yang semakin tinggi, isu projek RMM yang sakit dan terbengkalai serta kecenderungan pihak pemaju swasta untuk membayar levi, denda atau penalti berbanding menyediakan RMM.
“Dapatan ini adalah berdasarkan kajian oleh beberapa pihak dalam industri dan institusi penyelidikan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Willie Anak Mongin (GPS-Puncak Borneo) mengenai kenaikan harga hartanah dan kekurangan rumah mampu milik menjadi masalah bagi golongan berpendapatan rendah khasnya golongan muda yang baru berumah tangga dan apakah dasar dan strategi kementerian untuk menangani masalah ini.
Mengulas lanjut, Aiman berkata, sebanyak 443,259 unit (89 peratus) RMM telah siap dibina, dalam pembinaan dan dalam perancangan di seluruh negara, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.
“Ini bermakna, sasaran penyediaan 500,000 RMM di bawah RMKe-12 hanya berbaki sebanyak 56,741 unit rumah dan kerajaan yakin sasaran RMM ini dapat dicapai pada penghujung pelaksanaan RMKe-12 oleh agensi penyedia perumahan di peringkat Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju swasta,” katanya.
Tambah Aiman, KPKT turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain bagi meningkatkan penyediaan RMM kepada rakyat iaitu Program Perumahan Rakyat (PPR) atau Program Residensi Rakyat (PRR), Program Rumah Mesra Rakyat (RMR), Program Perumahan PR1MA dan Kediaman SPNB.
“Peluang kerjasama dengan kerajaan negeri atau pemaju swasta dalam membangunkan projek RMM turut terus diteroka, di samping menggalakkan pemaju swasta membangunkan RMM melalui pemberian insentif,” katanya. – UTUSAN