KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui terdapat peniaga yang tidak berupaya meneruskan penyediaan Menu Rahmah susulan peningkatan kos.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd. Ali berkata, kerajaan komited memastikan Menu Rahmah terus ditawarkan kepada rakyat.
Dalam hal ini, BELIAU berkata, kerajaan kini dalam pertimbangan beberapa langkah yang boleh diambil bagi memastikan peniaga dapat terus menawarkan Menu Rahmah.
“Kita sedia maklum ada peniaga-peniaga yang menyebut kita (peniaga) sudah tidak boleh menawarkan Menu Rahmah disebabkan faktor-faktor antaranya kos (meningkat).
“Kita komited memastikan Menu Rahmah terus ditawarkan secara bersasar, atas sebab itu kita sedang rundingkan tanpa melibatkan bantuan secara langsung dalam konteks subsidi secara langsung kepada peniaga tersebut,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Armizan berkata, dalam usaha kerajaan menyokong peniaga untuk terus menawarkan Menu Rahmah, peniaga yang konsisten dibenarkan membeli barangan perniagaan dengan kadar yang banyak dalam Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).
“Kita pertimbang memberi ruang kepada peniaga Menu Rahmah di kawasan bersasar ini untuk diberikan akses dapat membeli barangan dalam kadar lebih banyak dalam program-program PJRM.
“Tetapi dia (perlu) melalui beberapa kriteria khususnya konsistensi peniaga ini menawarkan Menu Rahmah, kita berbalik kepada asasnya bahawa Menu Rahmah ini adalah satu program tanpa peruntukan daripada kerajaan,” katanya. – UTUSAN