KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan penilaian teknikal dan kewangan ke atas permohonan untuk menubuhkan aerodrom bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerima permohonan rasmi kerajaan Kedah melalui surat bertarikh 21 Ogos lalu.
Kata beliau, kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor itu ingin menubuhkan aerodrome bagi KXP.
“Buat masa ini, pihak CAAM dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sedang membuat penilaian teknikal dan kewangan ke atas permohonan tersebut.
“Setelah menerima laporan penilaian daripada kedua dua agensi tersebut, pihak kementerian akan membuat keputusan berhubung permohonan itu,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 13 Disember 2023, kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan (MoT) sudah tiada alasan untuk tidak mempertimbang kelulusan KXP kerana segala keperluan yang menjadi syarat untuk membangunkan fasiliti itu hampir lengkap.
Muhammad Sanusi berkata, para pelabur yang berpusu-pusu ke Kedah kini turut menyatakan keyakinan mereka terhadap pembinaan lapangan terbang itu.
Katanya, beliau ketika itu bersama barisan pengurusan KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. telah ke Rom, Itali atas jemputan Enav Group yang terkenal dalam bidang penyediaan khidmat pengurusan lalu lintas serta navigasi udara.
Ketika mengulas mengenai status Subsidi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), Anthony Loke berkata, kerajaan Persekutuan memperuntukkan subsidi tahunan sebanyak RM209 juta bagi menampung kos operasi dan sewa pajakan pesawat untuk perkhidmatan ini.
“Dalam konteks sama, pengambilalihan perkhidmatan RAS oleh kerajaan Sarawak ini tidak akan menjejaskan perkhidmatan udara luar bandar di kesemua laluan sedia ada RAS di Sabah dan Sarawak sebagaimana yang telah termaktub di dalam Perjanjian PSO for RAS tersebut.
“Walaupun selepas kerajaan Sarawak mengambil alih operasi penerbangan MASWings kelak, kerajaan melalui MOT akan meneruskan pemberian subsidi kerajaan Persekutuan kepada syarikat yang diambil alih oleh kerajaan negeri iaitu MASWings bagi membolehkan perkhidmatan RAS terus dinikmati oleh penduduk di pedalaman Sarawak dan Sabah.
“Komitmen ini telah dizahirkan melalui Belanjawan 2025 di bawah Ikhtiar 46: Pengangkutan Awam di mana Perkhidmatan Udara Luar Bandar Sabah Sarawak diteruskan dengan peruntukan lebih RM200 juta,” jelasnya.- UTUSAN